
RALLY CHALLENGE 2019 – JRSPEED SUCIMUCI MENDOMINASI SAINGAN
Hujung minggu yang lalu telah berlangsung dengan jayanya Rally Challenge di luar kawasan Litar Sepang. Walaupun beberapa hari sebelumnya cuaca kelihatan agak terik dan kering, ditakdirkan hujan membasahi pada dua hari saingan. Namun itu bukanlah alasan buat 17 Pemandu untuk menyertai Rally Challenge yang buat julung kalinya dianjurkan bersama oleh One Motorsports dan juga Carleads Ventures.

Hujan lebat yang mula membasahi bumi Sepang membuatkan hari untuk recce menjadi ucapan selamat datang dan selamat maju jaya buat semua peserta. Keadaan trek ternyata berubah daripada trek rali ke bendang sawah. Hingga memaksa penganjur yang diketuai En. Khalid untuk menjadi ‘buruh kasar’ demi memastikan kondisi trek tidaklah terlalu teruk di awal perlumbaan.
Menariknya Rally Challenge ini, mereka membenarkan peserta untuk berkongsi kereta demi untuk membolehkan lebih ramai berpeluang untuk merasai pengalaman berlumba rali buat pertama kali. Iyalah, kot tiba tiba nak join rali mana datang duit seguni nak beli Satria 1.3 dengan nak kena pasang roll cage bagai. Misalannya Makcik Gina Finanza yang bertindak sebagai Juruarah kepada dua orang pemandu kereta Satria GTi beliau. Malah, Syamim dari One Motorsport turut menjadi Juruarah kepada tiga pemandu termasuklah Bandi yang buat pertama kali merasa kereta rali 4WD Subaru GC8.

Itu belum lagi kelibat beberapa pelumba baharu yang membuat kemunculan pertama dalam dunia rali termasuklah beberapa orang pelumba wanita juga. Kira objektif penganjuran ini untuk memberikan peluang kepada pelumba novis tercapailah kiranya. Itu belum lagi kemunculan pelumba senior seperti Haji Sutan yang berpasangan dengan orang lama, Aris Qutb. Tidak ketinggalan adalah kemunculan saat akhir Faidzal Alang yang berlumba untuk JRSpeed Sucimuci yang menggantikan pelumba asal mereka yang tidak dapat turut serta.
Kondisi trek yang berubah kepada berlumpur benar – benar mencabar dan menguji kemampuan Pemandu untuk mengawal jentera daripada terbabas ke penjuru trek. Menurut Khairul Nizam yang Brader Karrager hubungi, mereka bekerja keras untuk menukar tayar kesemua jentera mereka sehingga jam 2 pagi demi memastikan setiap jentera rali mempunyai grip yang lebih sepatutnya berbanding penggunaan tayar biasa.
Mujur juga Haji Cyco selaku antara orang kuat disebalik acara Rally Challenge ini turut membuat siaran Live FB, dapatlah juga peminat rali menonton sama kemeriahan saingan tanpa ditimpa kehujanan di trek.

Dan selepas tamat 4 SS, kejuaraan akhirnya menjadi milik pemandu merangkap Stuntman terkemuka dari MAPS, Faidzal Alang dengan jentera Satria 1.6. Pengalaman bertahun tahun dalam dunia rali digunakan sepenuhnya apatah lagi pertama kali mengemudi kereta tersebut bersama Juruarah yang baharu.

Tempat kedua keseluruhan menjadi milik Khairul Nizam bersama Evo 3. Ketika ditanya, selepas tamat SS1 beliau mula banyak ‘belanja’ penonton yang hadir dengan aksi yang lebih menarik tanpa memikirkan sangat soal catatan masa. Terbabaslah sikit catatan masa beliau kemudiannya.
Tempat ketiga keseluruhan pula diraih oleh Haji Sutan yang memandu Proton Satria Neo. Tempat keempat keseluruhan diraih oleh seorang lagi pelumba dari JRSpeed Sucimuci, Saman Rusli yang hanya memandu Proton Saga 1.3 sekaligus muncul Juara Kategori Novis.
Apa pun, sekalung tahniah kepada penganjur kerana berjaya menganjurkan Rally Challenge 2019 ini walaupun dalam keadaan yang cukup singkat untuk menganjurkannya. Menurut sesi persembangan dengan Chepot, Insya Allah akan ada siri Rally Challenge 2020 nanti. Tapi Chepot akan menjadi COC sahajalah untuk tahun hadapan. Moga yang dirancang menjadi nyata dan MRC 2020 dapat dikembalikan dengan sesegera mungkin.
Kredit Foto : FB Ishraqi Mokhtar & FB Adrenaline Impact