
BMW RECALL SUPRA BUAT KALI KE-3. MASALAH LAMPU UTAMA PULA
Toyota Supra A90 dan kembarnya, BMW Z4 dilapor perlu menjalani proses panggilan semula.
Ini merupakan kali ketiga model tersebut dipanggil semula selepas masalah kimpalan pada September dan kamera undur sebulan kemudian.
Kali ini, ia melibatkan lampu utama yang mungkin gagal untuk berfungsi sebaiknya. Dalam satu dokumen yang dihantar oleh BMW kepada Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya Kebangsaan Amerika, dianggarkan 177 unit Supra perlu diperiksa.
Secara keseluruhannya, sebanyak 245 unit kereta yang terlibat, merangkumi model BMW Z4 dan 330i. BMW memberitahu unit kawalan lampu utama mungkin mengalami kerosakan.
Jadi, lampu utama tidak dapat menyala dan meningkatkan risiko kemalangan. Pengedar sah perlu memeriksa unit kawalan tersebut dan menukarnya secara percuma.
Pemilik akan dihubungi bermula 17 Januari 2020.