Artikel Pilihan

GIAN BER-RALI – ONE MOTORSPORTS MENUJU KE SIAM

Buat peminat rali tempatan, iklan acah mengenai perkhabaran pasukan rali One Motorsports Rally Team untuk berlumba di negara jiran Thailand sudah mula boleh dihidu apabila Orang Kuat mereka, Haji Suhaimi ada membuat beberapa hantaran berbentuk ‘cyco’ (saiko) di Facebook. Gambar tomyam pun rasanya macam pernah si Aji ni muat naik.

Dan pantas Brader Karrager terus menghubungi Prinsipal Pasukan, En. Roduwan Rashid @ Brader Chepot untuk mendapatkan kepastian. Dan akhirnya sahihlah tentang perkhabaran tersebut. Insya Allah, jika tiada aral yang melintang, pasukan One Motorsports bakal membawa kibaran Jalur Gemilang di bumi Thailand bagi beraksi dalam Pusingan Kedua Thailand Rally Championship (TRC) di Petchabun.

Menjadi taruhan adalah gandingan Henzee Hamzah dan juga Syamim Khalid yang bakal memandu Proton Satria Neo. Gandingan ini bukanlah suatu gandingan yang baharu. Ikutkan, mereka boleh tahan serasi juga. Henzee sendiri pernah menjuarai MRC kategori 2WD pada tahun 2017.

Menurut Chepot, persedian rapi sedang giat dijalankan. Kereta Proton Satria Neo sedang disiapkan semula bagi menghadapi saingan di Thailand. Iyalah, mana – mana yang patut tukar, memang kena campak buang ganti yang baharulah. Karang kalau jahanam, jenuh juga nak cari alat ganti. Apatah lagi Satria Neo sebuah jenama kebanggaan Malaysia bakal menghadapi saingan sengit daripada kereta yang hebat dari Jepun seperti Honda Brio dan juga Suzuki Swift yang turut beraksi dalam kelas yang sama nanti.

Dan bagi menghadapi kemungkinan yang boleh berlaku, Chepot turut memaklumkan bagi mengiringi kereta rali tersebut yang bakal diangkut menggunakan lori pengangkut, adalah Van Rasmi One Motorspors Service, Flower Hons. Turut serta adalah sebuah lagi Proton Satria Neo yang mengiringi konvoi berfungsi sebagai ‘alat ganti bergerak’ terhadap kereta rali tersebut.

Memeriahkan lagi adalah beberapa orang krew yang akan turut serta melalui jalan darat termasuklah Bandi Si Tukang Cat (Sedara dengan Bandi Amuk ke apa ni?) yang akan memandu Triton beliau. Mereka bakal mengharungi jarak perjalanan lebih kurang 3000 km jauhnya untuk pergi dan balik. Memang bukan calang – calang jarak perjalanan yang bakal ditempuhi.

Sesudah krew yang melalui jalan darat mula bertolak pada 19 haribulan, pemandu serta beberapa Orang Kuat pasukan bakal menyusul melalui jalan udara pula pada 23 haribulan Ogos.

Menarik tentang perlumbaan TRC ini, perlumbaan hanya bakal dilangsungkan sehari sahaja (Hari Ahad) meliputi beberapa peringkat dan recce pula bakal dijalankan pada hari sebelumnya. Jadi dah kenapa mereka semua datang awal? Brader Karrager syak mereka semua nak borong Pes Tomyam ori ni.

Menurut Chepot lagi, buat permulaan ini mereka cuma mahu menimba pengalaman terlebih dahulu disamping menampilkan aksi terbaik. Chepot turut memaklumkan juga segala urusan dokumentasi awal telah dilakukan bagi mendapatkan kelulusan serta pengiktirafan pihak yang terbabit meliputi Kementerian Belia dan Sukan, Pelancongan Malaysia, Proton , Kedutaan & Konsulat serta beberapa agensi Kerajaan yang terbabit.

Harus diingat, ini adalah pasukan yang sebenar – benar membawa nama Malaysia. Pasukan Malaysia, krew juga orang kita dan paling penting ianya adalah Proton Satria Neo. Ayuh kita semua mendoakan kejayaan pasukan One Motorsports Rally Team ini!

BACA : RALLY SHAKEDOWN – ONE MOTORSPROTS BAGAN DATUK RALLY TEAM

BACA : ALKISAH DWAU ONE MOTORSPORTS BAGAN DATUK RALLY TEAM

Google ads

B K

Back to top button