RENTAS NEGERI KE GENTING HIGHLANDS, 12 DIKOMPAUN RM5,000 SETIAP SEORANG
Seramai 12 individu dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 seorang kerana merentas negeri tanpa surat kebenaran daripada polis dalam operasi pemantauan di Kilometer 17, laluan menghala ke Genting Highlands pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kompaun dikeluarkan menerusi pemantauan Ops Covid-19 oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Mereka yang dikompaun membabitkan 10 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 58 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan permit kebenaran rentas negeri yang sah daripada polis. Mereka semua datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Genting Highlands,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) (NO 2) 2021.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang masih gagal dan mengambil mudah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – Sinar Harian