Buletin

TIADA SOP BAHARU RENTAS NEGERI

Kebenaran rentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi, tidak akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) baharu, sebaliknya menggunakan SOP sedia ada.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan juga tidak akan mewajibkan pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 kepada individu belum atau menolak vaksin, yang mahu merentas negeri.

Katanya, cadangan mewajibkan ujian kendiri sudah dikaji dan pihaknya mendapati ia sukar untuk dikuatkuasakan, sekali gus berharap semua pihak perlu jujur dan bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga jika mahu merentas negeri.

“Kita dah kaji cadangan itu tapi tiada cara untuk kuat kuasakannya. Takkan nak laksana sekatan jalan raya untuk periksa setiap individu, kerana rakyat akan marah jika jalan sesak sedangkan mereka sudah tunggu lama untuk rentas negeri.

“Ini tidak seperti gelembung pelancongan di Langkawi kerana jumlahnya tidak ramai. Ini (rentas negeri) babitkan jalan keluar masuk di semua negeri, mustahil untuk kita periksa semua.

“Cuma SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedia ada akan terus digunakan. Ertinya, jika ada individu belum divaksin yang merentas negeri, dia tetap tidak boleh nikmati kelonggaran seperti makan di restoran dan seumpamanya,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya saranan pakar kesihatan awam yang mencadangkan supaya individu yang menolak vaksin atau belum divaksin, diwajibkan menjalani ujian kendiri Covid-19 jika mahu merentas negeri. – BH

Google ads
Back to top button