BOLEH RENTAS NEGERI MULAI ESOK- PM
Kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas bermula esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pergerakan itu boleh dilakukan tanpa memerlukan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
“Bagaimanapun, data terkini akan dikemaskini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini,” katanya pada sidang media.
Beliau menegaskan kebenaran itu bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.
Katanya, walaupun tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi SJR untuk jenayah dan keselamatan masih diteruskan.
“Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilaksanakan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). 14.
“Saya juga ingin menegaskan, kebenaran pergerakan rentas negeri ini tidak terpakai ke atas kawasan atau lokaliti yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Ismail Sabri mengingatkan Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan.
Katanya, ia penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.
“Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak Covid-19 akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19.
“Sebagai contoh, sekiranya ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa atau merentas negeri, Keluarga Malaysia disaran untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan,” ujarnya
Ismail Sabri berkata bagi yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, beliau menasihatkan menangguhkan dahulu perjalanan.
Beliau menambah, sekiranya didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.