Buletin

7 R&R KENDALIAN PLUS SEDIA TERIMA PENGUNJUNG LENGKAP DIVAKSINASI

Sebanyak tujuh hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersedia menerima kunjungan pelanggan lebuh raya yang lengkap divaksinasi di medan selera masing-masing, bermula hari ini.

Ia berikutan lebih 80 peratus rakan niaga di kawasan R&R tersebut telah lengkap divaksinasi, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Lokasi yang dibuka hari ini termasuk Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur) dan Mambau (Arah Barat).

Hentian Sebelah Sungai Buloh (Arah Selatan) pula mula dibuka esok. Manakala Dengkil (Arah Utara) dan Dengkil (Arah Selatan) mula beroperasi pada Sabtu.

Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, pihaknya amat teruja mengalu-alukan pelanggan kembali di R&R dan hentian sebelah bagi menikmati sajian hidangan panas dan berehat sebentar terutamanya setelah mengharungi perjalanan yang jauh. 

“Dalam beberapa minggu lagi, kami akan mengumumkan lebih banyak lokasi di beberapa R&R yang bersedia untuk membuka ruang makan di medan selera, berikutan lebih ramai peniaga R&R kami akan memperoleh status vaksin lengkap mereka dalam tempoh 14 hari akan datang.

“Melalui semangat Kita Jaga Kita, kami menyeru para pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap untuk terus mematuhi SOP ditetapkan MKN. Mereka perlu menunjukkan status vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera untuk pengesahan ketika memesan makanan di gerai yang dikendalikan oleh peniaga R&R kami. 

“Bagi mereka yang mempunyai status vaksinasi lengkap, pelanggan akan menerima label pelekat hijau daripada peniaga R&R kami bagi membolehkan mereka menikmati makanan di medan selera R&R,” jelasnya.

Bagi pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksin lengkap, mereka masih boleh menikmati menu yang enak dengan pembelian secara bawa pulang dari R&R.

PLUS juga menyarankan mereka menggunakan fungsi prapesanan menerusi Aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ daripada peniaga dan pengusaha gerai R&R yang mengambil bahagian bagi meminimumkan interaksi.

Pelanggan boleh memuat turun Aplikasi PLUS dengan mudah daripada Play Store bagi pengguna Android dan Apple App Store. – UTUSAN ONLINE

Google ads
Back to top button