Buletin

BELUM LENGKAP VAKSIN, JANGAN BALIK LAGI – MB KELANTAN

Rakyat Kelantan di perantauan yang belum lengkap vaksin COVID-19 dinasihat agar menangguhkan rancangan untuk pulang ke kampung apabila rentas negeri dibenarkan dalam masa terdekat ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata walaupun rindu berjumpa dengan ibu bapa, keluarga dan saudara-mara, apa yang lebih penting adalah melengkapkan dua dos suntikan vaksin terlebih dahulu.

Mereka disaran melakukan saringan melalui kit ujian kendiri COVID-19 sebelum pulang, selain memastikan tidak bergejala.

“Sekiranya bergejala, saya mohon jangan balik lagi dan bertenang dahulu serta patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kadar vaksinasi di Kelantan masih rendah disebabkan ramai rakyat negeri itu berada di luar tetapi beralamat di Kelantan. Beliau berkata, kemungkinan mereka sudah mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

“Jadi ini yang mungkin menyebabkan kadar vaksinasi di Kelantan tidak sepantas negeri-negeri lain. Sedangkan kita sebenarnya sudah berusaha memberi suntikan vaksin kepada rakyat di negeri ini melalui program Outreach dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Sehingga hari ini, kita sudah mencapai 79 peratus kadar vaksinasi. Ini bermakna hasrat dan sasaran kerajaan untuk mendapatkan 80 peratus kadar vaksinasi pada pertengahan Oktober ini akan dapat dicapai,” katanya. – Berita Harian 

Google ads
Back to top button