BuletinMotosikal

SUZUKI GSX-R1000 HIDUP SEMULA, GENERASI BAHARU DEBUT DI EROPAH – 193HP, 110NM

Tahun 2017 merupakan kali terakhir Suzuki melaksanakan naik taraf signifikan pada jentera GSX-R1000 dan GSX-R1000R sebelum model itu menjalani beberapa kemas kini kecil dalam tempoh lapan tahun ini.

Namun, kilang Hamamatsu menghadirkan berita gembira buat peminat GSX-R apabila mengumumkan model yang telah diberikan nafas baharu bagi tahun 2026.

Lebih menarik, GSX-R1000 generasi terbaru ini juga kini mencapai standard emisi Euro5+ sekaligus menyaksikan jentera ikonik itu akan kembali dipasarkan di pasaran global.

Pertamanya, Suzuki GSX-R terbaru ini mengekalkan rupa bentuk yang mirip dengan model sebelumnya namun dengan beberapa penambahbaikan termasuk kehadiran ‘winglet’ gentian karbon di bahagian kiri dan kanan.

Suzuki mendakwa winglet tersebut memperbaik cengkaman depan tanpa memberi kesan pada pengendalian. Meskipun kelihatan kecil sedikit berbanding yang ada pada pesaing lain namun sedikit sebanyak membuktikan komitmen Suzuki dalam menghasilkan jentera yang kompetitif meskipun sudah tidak memiliki program WSBK dan MotoGP.

Selain visual, naikt taraf terbesar terarah pada bahagian enjin. Untuk rekod, Suzuki masih lagi mengekalkan platform empat silinder 999cc yang sama dengan model 2017 namun telah menaik taraf komponen penting termasuk crankshaft, crankcase, conrod, piston, valve, camshaft dan camshaft.

Suzuki juga mengguna pakai crankshaft yang lebih lebar, meningkat 2mm dari 35mm kepada 37mm. Perubahan itu dibuat bagi memastikan enjin mampu menampung tekanan yang lebih tinggi sekiranya ditala semula untuk tujuan perlumbaan.

Selain itu, penggunaan conrod dan piston baharu juga menyumbang kepada nisbah mampatan yang lebih tinggi dari 13.2:1 kepada 13.8:1.

Dalam pada itu, diameter valve ekzos juga telah diperbesar dari 25mm kepada 26mm sementara camshaft direka semula bagi mengurangkan senario ‘valve overlap’ (situasi dimana valve dan intake terbuka pada masa yang sama) selain mencapai standard emisi yang ketat.

Throttle body juga lebih besar dari 46mm pada model 2017 kepada 48mm. Menariknya, Suzuki turut menaik taraf throttle-body injectors beralih dari 10-lubang kepada 8-lubang.

Sementara itu, tabung ekzos juga dikemas kini dan kelihatan lebih kecil kali ini dengan saiz 5.5L berbanding 8.3L sebelum ini sekaligus mewujudkan rupa yang lebih kemas.

Meskipun pelbagai naik taraf dan perubahan besar dilaksanakan pada ruangan enjin namun perlu diingatkan langkah ini diambil bagi memastikan GSX-R generasi baharu ini mampu mencapai standard emisi yang semakin ketat.

Hasilnya, versi 2026 ini menawarkan 193hp pada 13,200rpm berbanding 199hp sebelum ini manakala tork pula diletakkan pada 110Nm pada 11,000rpm, meningkat dari 10,800rpm sebelum ini.

Suzuki mengekalkan penggunaan kerangka utama yang sama seperti model sebelumnya namun menaik taraf pakej suspensi. Varian GSX-R1000R menerima fork Showa Balance Free Front (BFF) dan penyerap hentak Show Balance Free Rear Cushion (BFRC) sementara varian GSX-R1000 pula menawarkan Showa Big Piston Front (BPF) dengan monoshock standard. Suzuki GSX-R1000 ini menawarkan tangki bahan api berkapasiti 16L dengan berat keseluruhan diletakkan pada 203kg.

Antara pakej elektronik ditawarkan termasuk:

  • Suzuki Ride-by-Wire
  • Suzuki Drive Mode Selector – 3 mod
  • Suzuki Traction Control System (STCS) dengan Lift Limiter dan Roll Torque Control
  • quickshifter dengan auto-blip
  • Slope Dependent Control
  • Suzuki Easy Start System

Untuk rekod, pelancaran generasi terbaru GSX-R1000 dan GSX-R1000R ini juga berlangsung serentak dengan ulang tahun ke-40 GSX-R pada 2025.

GALERI: SUZUKI GSX-R1000R 2026

Google ads
Back to top button