Buletin

LRT3 SIAP 99.21%, SEDIA UNTUK BEROPERASI 30 SEPTEMBER

Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) berjaya merekodkan penjimatan hampir RM10 bilion walaupun beberapa komponen asalnya telah dikembalikan dalam pelaksanaan terkini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kos keseluruhan projek tersebut kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu jauh lebih rendah berbanding anggaran asal sebanyak RM31.65 bilion ketika ia mula diumumkan pada tahun 2015.

Penjimatan itu, katanya, hasil daripada langkah penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018, yang telah merendahkan kos kepada RM16.63 bilion.

Bagaimanapun, pada tahun 2024, kerajaan memutuskan untuk memasukkan semula beberapa elemen penting seperti lima stesen tambahan, tujuh set tren tiga-gerabak, peluasan depot tren di Johan Setia, 150 bas ulang-alik elektrik serta pembinaan tiga depot bas.

Penambahan semula ini meningkatkan kos sebanyak RM5.3 bilion.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, beliau turut memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan laluan LRT3 dari Bandar Utama, Petaling Jaya ke Johan Setia, Klang telah mencapai 99.21% setakat 10 Julai lalu.

Projek ini sebelum ini berdepan kelewatan susulan pandemik Covid-19, dengan kerja-kerja tertangguh antara Mac 2020 hingga Oktober 2021.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir, selain permit kemasukan pekerja asing hanya dibuka semula pada November 2023,” jelas Loke.

Beliau turut menyatakan bahawa gangguan rantaian bekalan dan kekurangan bahan binaan seperti besi dan simen turut menyumbang kepada kelewatan tersebut. – The Star

Google ads
Back to top button