
SUZUKI RAIDER R150 VERSI FACELIFT DIDEDAH DI INDONESIA?
Walaupun reka bentuk motosikal jenis kapcai sudah pun berubah mengikut permintaan pasaran, Suzuki masih lagi berdegil dengan reka bentuk Satria F150 atau dikenali sebagai Raider R150 di Malaysia.
Bagaimanapun, nampak gayanya Suzuki akhirnya akan mengemas kini reka bentuk Satria F150 untuk pasaran Indonesia berdasarkan beberapa gambar spyshot yang tular disana.
Berdasarkan gambar diperolehi, Satria F150 itu jelas hadir dengan lampu depan baharu manakala bahagian lain masih lagi mengekalkan reka bentuk sama. Menariknya, lampu depan tersebut jelas dipinjamkan dari Gixxer 250.

Tidak cukup dengan itu, terdapat desas desus mengatakan motosikal ini turut dinaik taraf dengan sistem ABS. Gambar spyshot yang dikongsikan juga menampakkan sensor ABS di tayar depan.
Buat masa ini tiada laporan dari negara jiran yang mengesahkan perkara ini namun memandangkan sudah sekian lama Satria F150 ini tidak dinaik taraf maka kemas kini terbaru ini amat diperlukan bagi memastikan motosikal tersebut terus relevan masa kini.
Persoalannya, adakah model ini akan turut diperkenalkan di Malaysia?







