Buletin

SUZUKI SPACIA GEAR BAHARU DIPERKENALKAN DI JEPUN – PESAING KEPADA MITSUBISHI DELICA MINI

Suzuki baru-baru ini telah mendedahkan model crossover Suzuki Spacia Gear baharu yang kelihatan sangat mirip dengan konsep Suzuki Spacia Papa Boku Kitchen dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2024.

Kei car ini mengekalkan saiz kecil dan gaya crossover pendahulunya, sambil menambah lebih banyak teknologi dalam reka bentuknya.

Berbanding model Spacia dan Spacia Custom, Spacia Gear menampilkan wajah unik dengan lampu LED bulat, gril baharu – memberikan penampilan seperti Jeep mini.

Selain itu, pembaharuan turut dibuat pada bampar, plastik pelindung pada bahagian sisi, set rim aloi 15-inci kemasan gunmetal gray serta rel bumbung.

Di bahagian dalam, perbezaan utama adalah trim, dengan Spacia Gear mendapat warna yang diilhamkan oleh alam semula jadi, fabrik kalis air, dan penutup ruang kargo tahan lasak.

Penambahan menarik adalah pilihan stereng dengan fungsi pemanas dan port USB tambahan untuk pengecasan.

Suzuki akan menawarkan pelbagai aksesori termasuk rak bumbung, awning yang boleh dilipat, bekas khas untuk haiwan peliharaan, jaring penghalang nyamuk, dan kusyen – boleh diubah menjadi katil untuk berkemah.

Pengeluar kereta itu bagaimanapun tidak mendedahkan spesifikasi teknikal Spacia Gear baharu, menunggu debut rasmi kei car ini.

Spacia terdahulu dilengkapi enjin mild-hybrid 660cc tiga silinder yang menghasilkan sama ada 48hp atau 80hp, dipadankan transmisi CVT, dengan pilihan 2WD atau 4WD.

Beralih pada harga, tiada pendedahan dibuat setakat ini, namun kei car berkenaan akan bersaing dengan Mitsubishi Delica Mini serta Daihatsu Fanto Funcross.

Google ads
Back to top button