
THAILAND SIASAT PEMOTONGAN HARGA MODEL BYD – PELANGGAN SEDIA ADA RASA RUGI
Siasatan Thailand terhadap diskaun dari BYD China akan diteruskan walaupun adanya program pulangan tunai dari pengedarnya.
Tindakan itu dibuat susulan terdapat bantahan daripada pengguna yang merasakan telah membayar lebih untuk kenderaan elektrik (EV) mereka.
Thailand, yang merupakan pusat pemasangan dan eksport automotif serantau, adalah pasaran luar negara terbesar bagi BYD, di mana ia adalah jenama EV terlaris.
Rever Automotive, pengedar BYD di Thailand, minggu ini mengumumkan program pulangan tunai dan diskaun di stesen pengecasan sehingga Mac 2025.

Pelanggan BYD sedia ada boleh menerima pulangan tunai sehingga 50,000 baht (RM6,438) untuk pembelian seterusnya model Atto 3 atau Seal dari 18 Julai hingga akhir Ogos.
Namun, siasatan oleh Lembaga Perlindungan Pengguna Thailand akan diteruskan, di mana terdapat 100 aduan baru, kata pegawai kanan di agensi tersebut, Passakorn Thapmongkol.
“Kami akan mengadakan satu lagi mesyuarat minggu depan supaya mereka boleh menjelaskan lebih lanjut,” kata Passakorn.
Rever, yang mempunyai rangkaian lebih daripada 100 pengedar di seluruh Thailand, dalam satu kenyataan berkata kempen pulangan tunai adalah promosi untuk pelanggan lama dan bukan sebahagian daripada program pampasan.
Untuk rekod, BYD memegang 20 peratus kepentingan dalam Rever Automotive.
Isu berkenaan mendapat perhatian kerajaan bulan ini selepas Rever membuat pemotongan harga ke atas beberapa model, sebanyak 340,000 baht (RM43,777), mencetuskan aduan daripada pembeli BYD EV sebelumnya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin meminta Ketua Pegawai Eksekutif BYD, Wang Chuanfu, untuk memastikan pengguna Thailand dilindungi.