Buletin

TUNER JEPUN DAMD TUKAR ‘MUKA’ SUZUKI EVERY JADI LAND ROVER DEFENDER

Tuner Jepun, DAMD yang terkenal mengubah suai  Suzuki Jimny menjadi ala-ala Defender kini melakukan perkara sama terhadap van Suzuki Every.

Kit “little D” untuk van tersebut akan berada di pasaran pada awal musim panas 2022 dan dipertontonkan melalui set gambar promosi bersama kit “Nomad” untuk Suzuki Spacia Gear.

Melalui gambar yang didedahkan, ia seumpama ‘muka’ Defender ditampal pada van kei itu.

Ia merupakan kit visual ketiga yang mendapat inspirasi daripada Defender dibangunkan DAMD selepas Suzuki Jimny dan Daihatsu Taft.

Kit terbaharu itu menampilkan bahagian hadapan yang direka semula untuk memberi nafas baharu mirip Defender.

Ia hadir dengan bampar tidak dicat, lampu utama berbentuk bulat dipadankan unit tambahan bulat untuk lampu isyarat, gril segi empat yang besar, bonet kecil dan fender hadapan sepadan.

Generasi terbaharu Suzuki Every dilancarkan pada 2015 dan mendapat sentuhan facelift tahun ini.

Van berkenaan mendapat khidmat enjin tiga silinder 660cc yang mampu menjana kuasa mencecah 63 hp dipadankan transmisi manual atau automatik lima kelajuan.

DAMD berkata “little D” direka untuk tujuan kegiatan luar dan disasarkan kepada pemilik van yang gemar melakukan aktiviti berkhemah, memancing, meluncur dan sukan musim sejuk. –carscoops

Google ads
Back to top button