Buletin

AUDI LUPAKAN SEKEJAP TRANSISI KE KENDERAAN ELEKTRIK SEPENUHNYA, FOKUS MODEL PHEV

Audi, salah satu pengeluar kenderaan mewah terkemuka, menghadapi cabaran dalam revolusi elektrik mereka.

Berikutan penurunan permintaan, syarikat itu mungkin akan menamatkan produksi Q8 e-tron lebih awal daripada jangkaan.

Situasi ini juga telah mendorong Audi untuk memberikan tumpuan yang lebih besar kepada kenderaan hibrid plug-in.

Menurut laporan Autocar, Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Gernot Döllner, baru-baru ini mendedahkan bahawa Kumpulan Volkswagen melihat kenderaan hibrid plug-in sebagai jambatan ke arah masa depan elektrik.

Döllner menyatakan bahawa peralihan ini akan mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

Walaupun syarikat itu masih menetapkan sasaran untuk mencapai barisan kenderaan serba elektrik sepenuhnya menjelang 2033, powertrain alternatif akan terus digunakan sehingga tempoh tersebut.

Bagi memudahkan peralihan ini, Audi dilaporkan telah mencipta “barisan enjin pembakaran” baharu untuk model hibrid plug-in masa depan.

Butiran lanjut masih terhad, tetapi model-model ini bakal mempunyai pek bateri lebih besar, menawarkan jarak gerak sehingga 100km dengan kuasa elektrik sahaja.

Döllner yakin dengan pelan disemak semula ini akan menjadi “fasa peralihan dengan tiga drivetrain yang relevan”, termasuk enjin pembakaran dalaman, powertrain hibrid plug-in, serta kenderaan serba elektrik.

Sememangnya, rancangan boleh berubah dan beberapa pengeluar kenderaan telah mengurangkan cita-cita EV mereka berikutan kadar penerimaan yang lebih perlahan daripada jangkaan.

Google ads
Back to top button