Artikel Pilihan

MISTERI TOYOTA FOKUS PADA HIBRID DAN HIDROGEN AKHIRNYA TERJAWAB

Pengguna, pengeluar kenderaan dan ekosistem di negara Jepun nampaknya seperti tidak ambil kisah sangat dengan perkembangan dan pembangunan berterusan teknologi kereta elektrik, menjadikan Jepun seperti ketinggalan berbanding dengan jirannya iaitu China yang agresif memasarkan kereta elektrik ke seluruh dunia.

Malah tindakan kebanyakan syarikat automotif Jepun yang dilihat agak perlahan dalam teknologi kereta elektrik telah mengundang kecaman dari pasaran terbesar kereta di dunia seperti Amerika. Malah jika pengeluar lain berusaha ke arah kereta elektrik, Toyota selaku pengeluar kereta terbesar di dunia memberi fokus kepada kereta hibrid dan juga teknologi hidrogen

Teknologi hidrogen di sini membawa maksud pengenalan kepada FCEV (Fuel Cell Electric Vehicle) ataupun kenderaan elektrik sel bahan api, yang menukar hidrogen menjadi air dan pada masa yang sama menghasilkan tenaga elektrik.

Kami cuba huraikan kenapa Toyota akan memberi fokus kepada teknologi hidrogen sebagai teknologi utama untuk dibangunkan pada masa depan.

1. Jepun tiada sumber bahan api – sebagai sebuah negara pulau, Jepun tiada bahan mentah seperti gas dan juga petroleum untuk dilombong bagi menghasilkan tenaga yang diperlukan. Pada tahun 2022, Jepun telah mengimport sekitar 158.64 juta kiloliter petroleum untuk dijadikan bahan api stesen janakuasa elektrik dan pengangkutan

Ini bermakna Jepun sangat bergantung kepada sumber luar negara untuk mengimport bahan api bagi kegunaan pengangkutan. 30% bahan api petroleum ini digunakan untuk menghasilkan kuasa elektrik di Jepun, menjadikan penggunaan kereta elektrik kurang relevan dan membebankan sistem grid elektrik di Jepun

2. Tragedi Nuklear Fukushima – sebelum berlakunya gempa bumi pada tahun 2011 yang menyebabkan kerosakan loji nuklear di Fukushima, Jepun menjana 30% tenaga elektrik dengan menggunakan teknlogi nuklear dan merancang untuk meningkatkan kapasiti ini kepada 40%.

Namun dek kerana desakan pengguna dan isu kebocoran radiasi, banyak lohi nuklear Jepun telah ditutup sehingga pada tahun 2014 tiada lagi loji nuklear yang beroperasi. Namun keadaan ini menyebabkan Jepun perlu mengimport bahan api fosil dengan lebih banyak bagi keperluan tenaga elektrik di Jepun.

Walaupun beberapa loji Nuklear sudah beroperasi semula selepas mendapat kelulusan kerajaan, ia hanya menyumbang kepada 10% sahaja penghasilan elektrik di Jepun. Jadi adalah tidak logik untuk membebankan sistem grid elektrik Jepun dengan kereta elektrik. Kedua dua bahan api samaada elektrik atau pun petrol perlu diimport

3. Hidrogen – pada tahun 2013, saintis Jepun telah menemui simpanan gas methane hydrate beku yang cukup banyak di perairan sekitar kepulauan negara Jepun. 1 meter padu methane hydrade boleh ditukar menjadi 160 meter padu gas methane yang akhirnya boleh ditukar menjadi gas hidrogen

Namun isunya ialah simpanan methane hydrate ini berada di bawah 1000 meter dari aras laut dan perlu diekstrak keluar beberapa ratus meter dari dasar laut Jepun. Setakat ini saintis Jepun masih lagi mengkaji proses untuk melombong dan mengekstrak gas ini dengan kaedah yang paling murah dan efisyen

Sekiranya berjaya, Jepun tidak perlu lagi bergantung kepada bahan api petroleum atau fosil yang perlu diimport dari luar negara. Malah Methane Hydrate ini akan menjadi sumber tenaga bersih buat negara Jepun

Jepun juga menjadi negara pertama di dunia yang merangka strategi dan polisi pembangunan tenaga hidrogen dalam negara, termasuklah dalam industri, pengangkutan, perumahan, penghasilan tenaga elektrik bermula pada tahn 2030 dengan 3 juta tan, meningkat kepada 12 juta tan pada 2040 dan 20 juta tan pada tahun 2050.

4. Toyota Mirai – jadi atas sebab inilah kita boleh lihat Toyota begitu agresif memperkenalkan produk FCEV seperti Toyota Mirai yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api. Malah sebagai sebuah syarikat berkepentingan nasional dan kongmolerat terbesar di Jepun, Toyota menggalas tanggung jawab dalam membangunkan hidrogen dengan produk, fasiliti pengisian hidrogen dan juga penggunaan secara meluas

5. Teknologi hibrid – Namun sebelum teknologi FCEV menjadi semakin matang, Toyota telah menjangkakan bahawa teknologi hibrid sebenarnya lebih berdaya saing berbanding dengan kereta elektrik. Tidak seperti kereta petrol biasa, kereta hibrid menggunakan petrol dengan sangat efisyen.

Malah sehingga pada hari ini Toyota masih menggunakan bateri nickel metal hydride yang lebih tahan lasak pada perubahan suhu, kecil dan boleh dicaj dengan mengggunakan kaedah brek regeneratif sahaja. Ini menyebabkan kereta hibrid menjadi semakin boleh diterima bagi kebanyakan pengguna yang perlu memandu jauh setiap hari tanpa memikirkan isu jarak perjalanan dan pengecasan.

Bukan itu sahaja, Toyota juga turut memperkenalkan teknologi hibrid yang boleh dicaj, atau plug-in hybri bagi membenarkan kereta Toyota Prius dipandu dalam mode elektrik sehingga 77km untuk satu pengecasan penuh. Sekiranya bateri sudah kehabisan tenaga, ia akan bertukar menjadi kereta biasa menggunakan petrol

Walaupun satu ketika dulu PHEV dianggap sebagai “jambatan” kepada kereta elektrik dan menunggu untuk kereta elektrik menjadi semakin baik, semakin ramai pengguna memilih untuk membeli kereta PHEV. Bagi pasaran Amerika, semakin banyak pengguna memilih untuk berpatah balik kepada kenderaam hibrid, menyebabkan jualan kereta hibrid meningkat dan pengeluar menarik balik pelaburan dalam kereta elektrik dan menghasilkan kereta hibrid.

Google ads
Back to top button