
TALOS XXT GRAND TOURER ULTRA DARIPADA FERRARI 599 GTB – 5 BUAH SAHAJA!
Pakar kejuruteraan automotif dan pembinaan badan kenderaan dari British, Talos Vehicles, telah mendedahkan perincian serta imej terbaharu bagi model TALOS XXT mereka.
XXT merupakan sebuah Grand Tourer yang diinspirasikan daripada jentera lumba namun ditala khusus untuk kegunaan jalan raya bagi menawarkan keseimbangan antara prestasi ekstrem dan keselesaan pemanduan.
Eksklusiviti dan Ketelitian Buatan Tangan

TALOS XXT berada di kemuncak eksklusiviti automotif kerana hanya lima unit sahaja yang akan dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia.
Had pengeluaran yang sangat terhad ini ditentukan oleh kapasiti acuan gentian karbon yang hanya mampu menghasilkan lima unit sahaja dan tiada lagi unit tambahan akan dibina selepas itu.
Setiap unit dihasilkan dengan tumpuan mendalam terhadap perincian dan komitmen terhadap kemewahan, memastikan tiada dua kenderaan yang serupa di dunia.
Syarikat yang berpangkalan di Yorkshire, United Kingdom ini menggunakan kepakaran dalam bidang operasi khas pertahanan dan sukan permotoran untuk menghasilkan kenderaan yang benar-benar asli.
TALOS XXT diubahsuai daripada Ferrari 599 GTB dan tersedia dalam konfigurasi pemanduan sebelah kiri dan kanan.
Rangkaian Kuasa dan Prestasi

Nadi penggerak XXT ialah enjin petrol 65 darjah V12 dengan sesaran 5,999 cc. Enjin ini menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 674 hp pada 7,600 rpm serta tork maksimum setinggi 624Nm pada 7,600 rpm.
Dengan output kuasa spesifik sebanyak 114 hp per liter, jentera ini menawarkan prestasi yang amat mengagumkan bagi sebuah kenderaan jalan raya.
Sistem transmisi menggunakan unit F1 Superfast 6-kelajuan yang dilengkapi dengan penukar gear padel untuk penukaran gear yang pantas dan responsif.
Walaupun memiliki angka prestasi yang setanding dengan jentera lumba, ia kekal ditala sebagai sebuah Grand Tourer yang elegan bagi mereka yang menghargai prestasi dan keanggunan secara seimbang.
Bagi pemilik yang inginkan prestasi lebih ekstrem, Talos menawarkan pilihan naik taraf enjin penuh untuk kuasa yang lebih padu, malah pilihan kotak gear manual turut disediakan sebagai sebahagian daripada tawaran tempahan khas.
Penyesuaian Tempahan Khas dan Kemasan

Setiap unit TALOS XXT adalah hasil citarasa pemilik. Badan kereta ini diperbuat daripada gentian karbon yang memukau, di mana pelanggan boleh memilih kemasan gentian karbon sama ada jenis kusam atau kilat.
Di antara contoh penyesuaian yang telah didedahkan termasuk versi Full Carbon yang mempamerkan panel gentian karbon kusam tanpa cat di seluruh badan, dipadankan dengan ruang dalaman hitam serta tempat duduk Alcantara.
Selain itu, terdapat juga pilihan Verde Jewel yang menggabungkan warna hijau luaran yang dengan ruang dalaman Alcantara berwarna merah sebagai penghormatan kepada asal usul kereta ini di Maranello.

Pelanggan juga boleh meminta perincian cat tambahan mengikut kreativiti mereka, seperti bendera Union Jack pada bahagian hujung sayap belakang bagi melambangkan identiti kejuruteraan British.
Bahagian ruang kabin menawarkan pilihan kulit mewah atau Alcantara sepenuhnya bagi mewujudkan ruang yang unik secara peribadi.

Sistem Kawalan dan Dinamik Pemanduan
Untuk memastikan mutu pemanduan yang mantap, Talos bekerjasama dengan pakar suspensi Öhlins.
Pakar dari Öhlins telah mengambil penyerap hentak TTX gred tertinggi mereka yang digunakan pada Pagani Huayra dan membangunkan semula komponen tersebut khusus untuk XXT.
Karakter pemanduan yang dihasilkan adalah tegar apabila diperlukan, namun kekal anjal untuk menangani permukaan jalan yang lebih mencabar
Selain itu, penyerap hentak ini boleh dilaraskan secara elektronik untuk menghadapi bonggol jalan atau permukaan yang sangat kasar bagi memastikan keseronokan pemanduan yang berterusan.
Harga dan Pilihan Tambahan

Harga permulaan bagi TALOS XXT ialah £850,000 (RM4,617,200) dan tidak termasuk kos untuk kereta penderma.
Di antara naik taraf pilihan yang tersedia seperti sistem ekzos gaya Formula 1 dengan manifold yang dipertingkatkan, hab roda jenis satu nat, roda XX, rangka keselamatan serta sistem hiburan dalam kenderaan.
Nilai sebenar TALOS XXT terletak pada unit eksklusif sebagai sebuah karya agung yang nilainya boleh meningkat mengikut masa.
Spesifikasi Teknikal TALOS XXT
- Enjin: 5,999 cc 65 darjah V12
- Kuasa Maksimum: 674 hp @ 7,600 rpm
- Tork Maksimum: 624 Nm @ 7,600 rpm
- Transmisi: F1 Superfast 6-kelajuan dengan penukar gear padel
- Pecutan 0 ke 100 km/j: 3.5 saat
- Kelajuan Tertinggi: 330 km/j
- Berat (Kerb): 1,688
- Kapasiti Tangki Bahan Bakar: 105 Liter
- Kapasiti But: 320 Liter
- Radius Pusingan: 12.35 m
- Roda: TALOS Forged 20 inci XX
- Tayar: Michelin Pilot Sport Cup 2














