
BRIXTON STORR 500 LANCAR DI MALAYSIA FEBRUARI INI – 47HP, 43NM
Segmen motosikal adventure 500cc di Malaysia bakal dimeriahkan dengan penyertaan pesaing baharu menerusi Brixton Crossfire Storr 500.
Kami difahamkan, MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama Brixton Motorcycles di Malaysia akan memperkenalkan Crossfire Storr 500 seawal bulan Februari ini.

Atas kertas, Crossfire Storr 500 dibangunkan sebagai pesaing kepada Honda NX500 malah menawarkan enjin dan kuasa yang mirip dengan pesaing dari Jepun itu.
Crossfire Storr 500 menawarkan 47hp pada 8,500rpm dan 43Nm pada 6,750rpm yang terhasil dari unit dua silinder 486cc dengan sistem penyejukan cecair. Kuasa pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi final drive rantai dan dikawal oleh transmisi manual 6-kelajuan.

Antara kelengkapan yang didatangkan secara standard pada motosikal ini termasuk ABS Bosh dwi-saluran, lampu LED depan dan belakang, suspensi KYB boleh laras, serta sistem brek J.Juan.
Menariknya, Crossfire Storr 500 ini turut didatangkan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally STR secara standard yang dipadankan bersama rim 19-inci depan dan 17-inci belakang.

Sebagai sebuah motosikal adventure, Brixton Crossfire Storr 500 ini dilengkapi dengan tangki bahan api berkapasiti 16L yang menawarkan jarak 380km. Brixton mendakwa motosikal ini mampu mencapai kelajuan lebih 160km/j.
Harga rasmi akan diumumkan pada hari pelancaran yang dijadualkan pada Februari.
GALERI: BRIXTON CROSSFIRE STORR 500



















