Artikel Pilihan

TATA LANCARKAN TIGOR EV. KERETA ELEKTRIK MAMPU MILIK. RM 68K SAJA

Tata iaitu pemain industri automotif utama di India dan juga pemilik jenama Jaguar Land Rover telahpun melancarkan model kereta elektik EV yang berasaskan pada model Tata Tigor. Berbeza dengan model konvensional petrol dan diesel, Tata Tigor EV yang berasaskan platform Tata X1 ini dikuasakan dengan motor elektrik

Tapi janganlah harapkan kuasa seperti Tesla ataupun Lucid kerana model Tata Tigor EV ini hanya dibekalkan dengan bateri sebesar 26kWh serta motor elektrik yang berkuasa 74 kuasa kuda serta 170Nm tork. Dalam ujian yang berasaskan pemanduan India ARAI, Tata Tigor ini berupaya dipandu sejauh 306km bagi satu pengecasan penuh serta dibantu dengan teknologi brek regeneratif

Tata Tigor EV ini mengambil masa selama 11 jam 30 minit untuk pengecasan penuh dengan menggunakan soket 15A atau 1jam 30 minit bagi sistem pengecasan pantas 15kW. Untuk memenuhi bateri sehingga 80%, soket 15A memerlukan masa 8 jam 30 minit dan sistem pengecasan pantas 25kW mengambil masa 65 minit

Ia menggunakan bateri ion lithium sejukan cecair dengan berat keseluruhan kereta ialah 1235kg. Bateri ion lithium ini diberi jaminan sehingga perbatuan 160,000km. Dengan menggunakan sistem gear tunggal ia masih mampu memecut 0-100km/j dalam masa 5.7 saat serta dipandu uji pada halaju yang selesa iaitu sehingg 120km/j

Dari segi saiz, panjang Tata Tigor EV ialah 3993mm lebih pendek dari Perodua Bezza, tapi lebih lebar daripada Bezza pada 1677mm serta ketinggiannya ialah 1532mm. Malah jarak antara roda Tata Tigor EV ialah 2450mm hanya kurang 5mm berbanding dengan Bezza. Tapi ruang bonet belakang hanyalah 316 liter sahaja. Tapi kalau hantar Tata Tigor ini masuk pertandingan kereta cantik, memang bungkus awal la

Berbeza dengan kereta EV lain yang lebih canggih, Tata Tigor EV hanya dipadankan dengan sistem keselamatan yang asas seperti 2 beg keselamatan udara SRS, brek ABS dan EBD,sistem kawalan kestabilan ESC, cagak ISOFIX serta sensor penderia undur. Tapi bila diuji dengan protokol Global NCAP 2021, ia masih mampu meraih skor 4 bintang dalam aspek perlindungan keselamatan.

Apa yang menarik ialah harga Tata Tigor EV ini yang ditawarkan pada harga permulaan yang cukup munasabah iaitu sekitar RM 68,000 bagi varian terendah dan RM 74,000 bagi varian tertinggi. Bagi penulis, harga yang ditawarkan cukup munasabah, jarak perjalanan 306km pun berbaloi untuk kegunaan seharian serta masa pengecasan yang boleh dikatakan ok.

Google ads
Back to top button