Buletin

TEKNOLOGI CETUS KONTROVERSI, AI “PIKAR GENIE” GANTIKAN JURUJUAL KERETA

Sebuah syarikat perisian automotif dari Korea Selatan sedang mencetuskan perdebatan apabila memperkenalkan konsep “jurujual kereta AI” yang boleh menggantikan staf jualan di bilik pameran.

Sistem baharu yang dinamakan Pikar Genie itu dibangunkan oleh Epikar, dan berfungsi seperti kiosk pintar yang membolehkan pelanggan bertanya soalan, semak spesifikasi kenderaan, serta mendapatkan maklumat produk tanpa perlu bercakap dengan jurujual manusia.

Namun, proses akhir seperti tandatangan dokumen dan urusan pembelian masih kekal memerlukan interaksi manusia atau sistem tradisional.

Walaupun idea ini kedengaran futuristik, beberapa jenama besar seperti Renault, BMW dan Volvo sudahpun menggunakan sebahagian teknologi Epikar di bilik pameran di Korea Selatan.

Menurut laporan industri, penggunaan sistem automasi ini juga telah mengurangkan keperluan tenaga jualan di sesetengah bilik pameran.

Epikar kini dilaporkan sedang menilai peluang untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat, malah teknologi tersebut dikatakan sudah diuji secara terhad di sebuah pengedar kereta di sana.

Namun begitu, tidak semua pihak yakin dengan konsep showroom tanpa jurujual sepenuhnya. Konsultan industri berpendapat pelanggan masih memerlukan sentuhan manusia untuk membina kepercayaan, terutama dalam pembelian besar seperti kereta.

Mereka turut menegaskan bahawa bilik pameran bukan sekadar tempat membeli kenderaan, tetapi juga ruang untuk pelanggan mendapatkan keyakinan dan nasihat secara langsung.

Walaupun begitu, ada juga pandangan sebaliknya, pengalaman membeli kereta sering dianggap terlalu “skrip” dan kurang mesra pelanggan, membuatkan AI dilihat sebagai alternatif yang lebih neutral dan efisien.

Jika teknologi ini berkembang, ia berpotensi mengubah peranan jurujual kereta secara besar-besaran, daripada manusia kepada sistem automasi yang lebih pantas, konsisten dan tidak bergantung kepada komisen jualan.

Google ads
Back to top button