Buletin

PROTON E.MAS LANCAR KEMPEN ‘GOLDEN TEST DRIVE’, TAWAR 30 JONGKONG EMAS DALAM 30 HARI

PRO-NET, anak syarikat milik penuh kepada Proton, memperkenalkan Kempen “Golden Test Drive” bagi jenama EV Proton e.MAS yang berlangsung di seluruh negara dari 13 April hingga 17 Mei 2026.

Sepanjang tempoh itu, orang ramai dijemput merasai pengalaman mobiliti elektrik melalui sesi pandu uji model Proton e.MAS 7, Proton e.MAS 5 serta Proton e.MAS 7 PHEV, dengan peluang memenangi jongkong emas sebagai ganjaran.

Kempen bertemakan “Golden” ini menekankan nilai tambah kepada pemilikan kenderaan elektrik, selain memberi peluang kepada rakyat Malaysia mengenali teknologi EV dan PHEV secara lebih dekat.

Ia turut disokong tawaran ganjaran menarik bagi menggalakkan lebih ramai pengguna mencuba sendiri pengalaman pemanduan elektrik.

Di bawah konsep “30 Jongkong Emas dalam 30 Hari”, sebanyak 30 jongkong emas seberat 3 gram ditawarkan sepanjang lima minggu kempen.

Setiap minggu, enam pemenang dari seluruh negara akan dipilih, dengan syarat peserta melakukan pandu uji, membuat tempahan mana-mana model Proton e.MAS dan melengkapkan penyertaan kempen.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata sesi pandu uji memainkan peranan penting, khususnya bagi pengguna EV kali pertama, kerana ia membantu menukar rasa ingin tahu kepada keyakinan.

Menurut beliau, kenaikan kos bahan api dan ketidaktentuan ekonomi semasa menjadikan peralihan kepada mobiliti elektrik sebagai pilihan yang semakin relevan, dan kempen ini memberi peluang kepada orang ramai mencubanya sendiri.

Selain hadiah mingguan, peserta turut berpeluang memenangi hadiah utama berupa perjalanan lima hari empat malam untuk dua orang ke Gold Mine Tour di Australia.

Tiga lagi pemenang kategori Gold Class pula akan menerima jongkong emas seberat 5 gram.

Untuk menyertai kempen, peserta hanya perlu mengikuti empat langkah mudah iaitu mengikuti akaun media sosial Proton e.MAS, mengunjungi pengedar rasmi, melakukan pandu uji serta membuat tempahan, sebelum melengkapkan borang penyertaan melalui pengedar yang terlibat.

Keseluruhan hadiah yang ditawarkan dianggarkan bernilai RM120,000, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dalam masa sama, Proton e.MAS turut mengadakan siri jelajah “Golden Roadshow” bagi mendekatkan barisan kenderaan elektriknya kepada orang ramai.

Antara lokasi terpilih termasuk Queensbay Mall, Pulau Pinang (15–19 April), AEON Melaka (19–24 Mei) serta East Coast Mall, Pahang (24–28 Jun).

Pengunjung berpeluang melihat kenderaan dengan lebih dekat, mendapatkan penerangan produk dan merasai sendiri pengalaman mobiliti elektrik yang ditawarkan.

Google ads
Back to top button