Buletin

MINI RED LINE EDITION, NAMA SEDAP, GAYA GARIS MERAH DENGAN KIT JCW

MINI USA melancarkan MINI Red Line Edition bagi Model Tahun 2026. Model edisi terhad ini hanya ditawarkan untuk varian MINI Cooper S 4-Pintu dan merupakan model terbaharu dalam siri edisi khas MINI.

Reka Bentuk Luaran dan Inspirasi Permotoran

Model Red Line Edition menggabungkan cat luaran Legend Grey Metallic dengan riasan Chili Red bagi menghasilkan penampilan kontras tinggi yang dipengaruhi oleh warisan sukan permotoran MINI.

Warna Legend Grey Metallic merupakan kemasan yang biasanya dikhaskan untuk model John Cooper Works di Amerika Syarikat dan menjadi elemen reka bentuk utama bagi edisi khas ini.

Penampilan luaran diperkemaskan lagi dengan elemen inspirasi JCW dan perincian aerodinamik.

Ini termasuk jalur riasan khas, roda 17 inci John Cooper Works Sprint Spoke Black dengan tayar semua musim, serta sistem brek JCW Sport.

Model ini juga dilengkapi bumbung panoramik berwarna hitam yang memberikan kontras visual kepada warna badan.

Kelengkapan Pakej Gaya JCW

Setiap unit didatangkan standard dengan JCW Style Package. Pakej ini merangkumi JCW Aero Body Kit, stereng JCW dengan pedal gear dan transmisi JCW Sport.

Ruang Dalaman Jalur Merah

Di bahagian dalam, Red Line Edition menampilkan kerusi sport JCW dengan balutan Vescin tanpa kulit. Ruang kabin menggunakan skema warna anthracite dengan riasan merah.

Bahagian penyandar kepala dihiasi corak halus dan jalur merah yang menjadi identiti khas model ini.

Rangkaian Kuasa

Jantung kepada MINI Red Line Edition adalah enjin 2.0 liter MINI TwinPower Turbo 4 silinder yang menghasilkan kuasa 204 ps pada 5,000 hingga 6,500 rpm.

Enjin dengan sesaran 1,998 cc ini juga menghasilkan tork sebanyak 300 Nm pada kitaran 1,450 hingga 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda melalui transmisi 7 kelajuan dua klac. 

Enjin ini menggunakan teknologi pengecas turbo twin-scroll yang digabungkan dengan kawalan injap pembolehubah Double-VANOS serta Valvetronic dan suntikan terus berketepatan tinggi.

Dari segi prestasi, pecutan dari 0 hingga 97 km/j memerlukan 6.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 241 km/j. 

Harga dan Ketersediaan

Harga jualan bagi varian asas MINI Cooper S 4-Door adalah $33,800 (RM134,389) manakala varian Red Line Edition dengan segala kelengkapan dan ciri tambahan ditetapkan pada harga $43,365 (RM172,421).

Harga tersebut tidak termasuk kos penghantaran dan pengendalian sebanyak RM4,672.

Spesifikasi dan Ciri Khas MINI Red Line Edition

  • Enjin 2.0 liter TwinPower Turbo 4 silinder suntikan terus dengan Double-VANOS
  • Kuasa 204 ps @ 5,000-6,500 rpm dan tork 300 Nm @ 1,450-4,500 rpm
  • Transmisi 7 kelajuan dua klac
  • Pecutan 0 ke 97 km/j dalam 6.5 saat
  • Kelajuan maksimum 241 km/j
  • Warna eksklusif Legend Grey Metallic
  • Dalaman Vescin/Cord Combination JCW Black
  • Iconic Trim dengan Comfort Package Plus
  • Gaya John Cooper Works
  • Bumbung dan perumah cermin sisi berwarna hitam
  • Roda 17 inci John Cooper Works Sprint Spoke Black dengan tayar semua musim
  • Kerusi depan elektrik dengan kerusi pemandu aktif termasuk sokongan lumbar
  • Aksesori Red Line Edition meliputi winglets depan dan belakang JCW
  • Spoiler bumbung JCW
  • Peresap belakang JCW
  • Dekal depan dan belakang JCW
  • Tali tunda JCW
  • Lencana eksklusif Red Line
  • Penutup hab roda floating JCW

Google ads
Back to top button