Buletin

AEON CREDIT RASMI LABUR DALAM CARDINALS RACING TEAM BAGI ARRC 2026

AEON Credit Service (M) Berhad mengumumkan pelaburan rasmi dalam Cardinals Racing Team bagi menghadapi musim 2026 Asia Road Racing Championship (ARRC).

Usaha berkenaan sekali gus juga memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap ekosistem dua roda di Malaysia dan rantau Asia.

Sebagai antara peneraju pembiayaan motosikal dengan pegangan pasaran melebihi 20 peratus, AEON Credit memainkan peranan penting dalam meningkatkan akses mobiliti kepada rakyat Malaysia.

Kerjasama terbaharu ini dilihat sebagai langkah memperluas sokongan syarikat daripada aspek pembiayaan kepada pembangunan prestasi, bakat baharu serta kecemerlangan sukan permotoran serantau.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Sinergi Perniagaan AEON Credit, Lee Tyan Jen berkata, kerjasama tersebut selari dengan kedudukan kukuh syarikat dalam segmen motosikal.

Menurutnya, nilai seperti ketepatan, daya tahan dan semangat kompetitif yang ditonjolkan pasukan itu seiring dengan aspirasi AEON Credit.

Pasukan Cardinals Racing Team sebelum ini dikenali dengan keupayaan teknikal serta prestasi konsisten di litar ARRC.

Dengan sokongan baharu daripada AEON Credit, pasukan berkenaan menyasarkan peningkatan daya saing serta kedudukan podium sepanjang musim 2026.

Pelaburan jenama ini turut mengukuhkan penglibatan AEON Credit dalam platform perlumbaan motosikal berprestij.

Pada 2025, syarikat itu terlibat dalam aktiviti berkaitan MotoGP serta menyokong pelumba muda negara, Hakim Danish, ketika penampilan wildcard beliau.

Bagi musim 2026 pula, AEON Credit bekerjasama dengan ZK Racing untuk membawa pelumba tersebut bersaing penuh dalam Moto3 World Championship.

Inisiatif ini juga menyokong objektif penjenamaan dan pemasaran AEON Credit dengan meningkatkan keterlihatan jenama di pentas antarabangsa, memperkukuh hubungan dengan pelanggan serta komuniti, selain memposisikan syarikat sebagai penyokong pembangunan bakat muda secara berterusan.

Sementara itu, Prinsipal Pasukan Cardinals Racing Team, K.F. Wong menyifatkan kerjasama tersebut sebagai peluang penting untuk meningkatkan keupayaan pasukan bersaing di peringkat tertinggi serta mencapai keputusan memberangsangkan sepanjang musim.

ARRC kekal sebagai siri perlumbaan motosikal utama di Asia yang menghimpunkan pelumba dan pasukan terbaik dari seluruh rantau ini.

Musim 2026 dijangka menyajikan saingan sengit di beberapa litar antarabangsa.

Melalui kerjasama dengan Cardinals Racing Team, AEON Credit terus memperkukuh peranannya dalam industri dua roda dengan menghubungkan akses kewangan dan prestasi sukan permotoran, di samping memberi inspirasi kepada generasi pelumba masa depan.

Google ads
Back to top button