Buletin

32 KES CURI KABEL ECRL, SYARIKAT RUGI RM3 JUTA

China Communications Construction Sdn Bhd (CCCECRL) merekodkan kerugian lebih RM3 juta ekoran kes kecurian kabel di sepanjang jajaran Pantai Timur sejak kejadian pertama pada Jun tahun ini.

Pengarah Keselamatan CCCECRL Seksyen 13, Shi Liang Hui berkata, sejak bulan Jun 2025 sehingga kini, terdapat 32 kes kecurian kabel dilaporkan dengan kejadian terbaru pada 10 Oktober baru-baru ini.

“Pahang merekodkan kejadian paling tinggi iaitu 24 kes, manakala Terengganu tujuh kes dan satu kes dilaporkan di Kelantan.

“Implikasi kejadian ini menyebabkan progres pembangunan projek ECRL ini berisiko lewat untuk disiapkan,”katanya.

Menurutnya, pelbagai inisiatif pencegahan kecurian telah diambil termasuk melantik dua Syarikat Keselamatan, pemasangan lebih 60 kamera litar tertutup (CCTV) selain memperkukuh kerjasama dengan pihak polis.

Jelas Shi, mereka yang terlibat dalam kes kecurian itu mensasarkan ‘overhead cable‘, ‘ground cable‘ dan kotak transformer yang baru dipasang di landasan tersebut kerana nilai yang tinggi.

“Apabila ia berlaku, pihak CCCECRL perlu menanggung kerugian selain mengambil masa yang lama untuk menggantikan kabel tersebut.

“Perlu diingatkan, walaupun hanya satu meter diambil pencuri, pihak kami masih perlu menggantikan kira-kira 1,500 meter kabel kerana ia tidak boleh disambung,” tambahnya.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan kecurian kabel terbabit.

Tegasnya, projek ECRL merupakan projek nasional yang memanfaatkan seluruh rakyat di negara ini dan semua pihak harus bekerjasama dalam memastikan kelancaran pembangunannya. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button