
CFMOTO KINI BERJIRAN DENGAN DUCATI DI ITALI, SAH SERTAI MOTOGP
CFMOTO telah mengesahkan perancangan untuk menyertai Kejuaraan Dunia MotoGP sekaligus melaungkan visi besar di pasaran motosikal antarabangsa.
Pengesahan itu dibuat setelah CFMOTO memaklumkan mereka sedang membangunkan jabatan perlumbaan di Rimini, Itali yang terletak kurang satu jam dari kilang Borgo Panigale milik Ducati.

CFMOTO yang ketika ini bertanding di kelas Moto3 dan Moto2 tidak menyembunyikan hasrat untuk beraksi di kelas premier MotoGP.
Pengarah Urusan Pusat Pengurusan Permotoran CFMOTO, Samantha Liu mengesahkan mereka sedang dalam perancangan membangunkan projek MotoGP.

Meskipun Liu tidak mendedahkan jangka masa yang akan diambil untuk projek itu terlaksana namun jelas jabatan teknologi perlumbaan yang ditubuhkan di Rimini itu menandakan mereka telah pun memulakan langkah pertama.
“Pusat teknologi yang sedang kami bangunkan adalah khas untuk perlumbaan. Kami sedang berkerja keras untuk membina struktur dan membentuk pasukan yang akan berpindah masuk ke pusat tersebut.
“Adakah jabatan perlumbaan ini dibina hanya untuk MotoGP? Tidak, kerana kami juga terlibat dalam program perlumbaan lain. Perjalanan kami masih jauh tapi sebagai CFMOTO kami sedang berusaha untuk sampai ke tahap tersebut,” jelasnya.

Apa yang pasti, CFMOTO enggan terburu-buru apatah lagi pengeluar sedia ada antaranya Ducati, Aprilia, Honda, Yamaha dan KTM tela pun menandantangani kontrak komersil sehingga 2031.
Untuk rekod, CFMOTO bukan satu-satunya pengeluar motosikal dari China yang berhasrat menyertai MotoGP ekoran ZXMOTO turut menyuarakan azam yang sama.







