Buletin

TOYOTA C-HR 2019 – AEROKIT TRD, BERMULA RM150K

Setelah dua tahun berada di pasaran, UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan C-HR yang telah dipertingkatkan.

Model baharu ini sudah boleh ditempah di semua cawangan sah Toyota di seluruh negara mulai 16 Januari 2019. C-HR boleh anda miliki pada harga bermula RM150,000 dengan penghantaran dijadual bermula Februari.

Model tersebut dibezakan menerusi rim aloi dua tona bersaiz 17 inci dengan rekaan baru. Bukan itu sahaja, crossover tersebut turut menerima kemasan jalur pada bampar hadapan dan belakang. Identiti Keen Look dipertingkatkan lagi dengan moulding pada bahagian sisinya.  

Bagi mereka yang mahu tampil lebih sporty, SUV kompak itu kini hadir dengan pilihan aerokit TRD yang dibangunkan secara eksklusif. Aerokit yang merangkumi arca roda, bampar hadapan dan belakang dengan kemasan metalik itu memberikan C-HR gaya yang lebih maskulin.   

Pelanggan boleh memilih warna baru untuk tahun 2019 iaitu hijau metalik (Radiant Green Metallic). Sementara warna lain seperti kelabu, putih mutiara, biru metalik, hitam dan merah dikekalkan. Bagi menyerlahkan lagi gayanya, warna biru, hijau metalik dan merah didatangkan dengan bumbung berwarna hitam.

Untuk ruang kabin pula, C-HR 2019 menerima paparan skrin sentuh bersaiz 6.75 inci bersama ciri Apple Carplay dan Android Auto.

C-HR dikuasakan oleh enjin 2ZR-FBE bersesaran 1.8 liter yang mampu menjana kuasa maksimum 140PS dan tork 171Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik Super ECT tujuh kelajuan bersama ciri Shiftmatic demi menawarkan prestasi dan penjimatan bahan api.

Pemandu boleh memilih daripada tiga mode pemanduan iaitu ECO, NORMAL dan SPORT.

Dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA), ia membolehkan C-HR dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan. Antaranya termasuklah Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Blind Spot Monitoring, Hill-start Assist Control (HAC) dan  Tyre Pressure Monitoring System (TPMS).

Sepanjang tahun 2018, lebih 4,000 unit C-HR telah dijual. UMW Toyota Motor yakin penambahbaikan ini akan diterima baik oleh pelanggan.   

Tags
Google ads
Back to top button