
SETANGKI PETROL = 1400KM. INI ENJIN HIBRID BARU TOYOTA
Toyota dilaporkan sedang membangunkan enjin petrol hibrid generasi baharu berkapasiti 1.5 liter yang berpotensi menawarkan penggunaan bahan api serendah 2.5 liter bagi setiap 100 kilometer (L/100km). Teknologi ini dikatakan mampu memberikan jarak perjalanan melebihi 1,400 kilometer dengan hanya satu tangki petrol, sekali gus menunjukkan potensi teknologi hibrid konvensional untuk terus berkembang tanpa memerlukan pengecasan luaran.
Pembangunan enjin baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha Toyota untuk meningkatkan kecekapan bahan api lebih daripada 15 peratus berbanding sistem hibrid semasanya. Enjin empat silinder berkapasiti 1.5 liter dibangunkan khusus untuk aplikasi (HEV) dan (PHEV), bukannya menggunakan enjin pembakaran dalaman sedia ada yang diubah suai
Toyota merancang menawarkan enjin berkenaan dalam dua konfigurasi iaitu NA dan turbocharged. Versi NA pula dibangunkan untuk menggantikan beberapa enjin sedia ada yang digunakan dalam rangkaian model Toyota, termasuk enjin 4 silinder 1.8 liter dan 3 silinder 1.5 liter M15A yang digunakan pada model Yaris, Yaris Cross, C-HR, Corolla Hatchback dan Corolla Wagon.
Selain enjin pembakaran dalaman, Toyota turut membangunkan motor elektrik, unit kawalan kuasa atau power control unit (PCU) serta inverter yang lebih kecil dan ringan. Kesemua komponen ini direka untuk bekerja bersama enjin baharu bagi mengurangkan kehilangan tenaga dan meningkatkan kecekapan keseluruhan sistem hibrid.

Berdasarkan angka penggunaan bahan api yang diiklankan Toyota New Zealand ketika ini, Yaris Hybrid mencatatkan penggunaan sekitar 3.1L/100km, manakala Corolla Hybrid mencatatkan 3.8L/100km. Bagi SUV RAV4 Hybrid yang menggunakan enjin 2.5 liter, penggunaan bahan api pula dianggarkan sekitar 5.0L/100km.
Sekiranya Toyota berjaya mencapai peningkatan kecekapan sebanyak 15 peratus, angka penggunaan bahan api ketiga-tiga model tersebut berpotensi berubah kepada sekitar 2.5L/100km bagi Yaris, 3.2L/100km bagi Corolla dan 4.3L/100km bagi RAV4. Namun angka ini merupakan pengiraan berdasarkan sasaran peningkatan kecekapan Toyota dan bukannya keputusan ujian rasmi enjin baharu tersebut.
Potensi jarak perjalanan Yaris Hybrid juga cukup menarik dimana dengan tangki petrol berkapasiti 36 liter dan purata penggunaan bahan api 2.5L/100km, secara teori Yaris HEV dengan enjin baru mampu bergerak sejauh kira-kira 1,440 kilometer sebelum perlu mengisi semula petrol. Jarak sebenar sudah tentu bergantung kepada keadaan pemanduan, trafik, kelajuan dan faktor persekitaran.
Toyota menjelaskan bahawa peningkatan kecekapan ini akan dicapai melalui beberapa pendekatan teknikal. Antaranya ialah mengurangkan geseran mekanikal dalam enjin, memperbaiki pengurusan suhu atau thermal management serta mengurangkan kehilangan tenaga elektrik di sepanjang sistem hibrid.
Pendekatan tersebut penting kerana kecekapan sesebuah kenderaan hibrid bukan hanya bergantung kepada enjin petrol, sebaliknya turut melibatkan keseluruhan sistem penggerak elektrik. Malah enjin dan komponen elektrifikasi baharu itu juga dibangunkan dalam pakej yang jauh lebih kompak berbanding sistem sedia ada.
Ini membolehkan Toyota mengintegrasikan sistem kuasa tersebut ke dalam platform kenderaan yang pada asalnya direka dengan mengambil kira keperluan kenderaan elektrik bateri (BEV). Pakej sistem kuasa yang lebih kecil turut memberikan kebebasan kepada pereka bentuk kenderaan untuk menghasilkan bahagian bonet yang lebih rendah dan bentuk badan lebih aerodinamik.
Faktor aerodinamik ini juga memainkan peranan penting dalam mengurangkan rintangan udara, sekaligus membantu meningkatkan kecekapan bahan api terutama ketika kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi.
Pembangunan enjin baharu ini turut berkait rapat dengan seni bina platform multi-pathway Toyota. Platform tersebut direka supaya boleh menampung pelbagai jenis sistem kuasa termasuk hybrid electric vehicle (HEV), plug-in hybrid electric vehicle (PHEV) dan battery electric vehicle (BEV).
Melalui seni bina yang lebih seragam, Toyota menjangkakan kos pembangunan dan pengeluaran dapat dikurangkan kerana pelaburan teknologi boleh dikongsi merentasi beberapa jenis kenderaan. Toyota turut merancang supaya teknologi enjin dan sistem hibrid baharu ini boleh menggunakan bahan api boleh diperbaharui serta bahan api neutral karbon, termasuk hidrogen.
Pendekatan ini selari dengan strategi multi-pathway Toyota yang sekian lama menekankan bahawa tiada satu teknologi elektrifikasi yang sesuai untuk semua pasaran. Keperluan infrastruktur pengecasan, bekalan tenaga, kemampuan pengguna dan corak penggunaan kenderaan berbeza mengikut negara.
Perkembangan ini berlaku ketika industri automotif global sedang mengimbangi pelaburan dalam kenderaan elektrik bateri dengan permintaan yang masih berterusan terhadap model hibrid. Berbanding EV, kenderaan hibrid menawarkan kelebihan dari segi kecekapan bahan api tanpa memerlukan pengguna bergantung kepada kemudahan pengecasan luaran.









