Buletin

TOYOTA CROWN 2027 NAIK TARAF SISTEM HIBRID, HARGA TURUT MENINGKAT

Toyota memperkenalkan kemas kini untuk sedan crossover Crown bagi model tahun 2027 dengan menaik taraf sistem hibridnya kepada generasi kelima, selain menampilkan beberapa perubahan kecil pada reka bentuk luaran dan dalaman.

Walaupun pembaharuan visual tidak begitu ketara, peningkatan teknologi di sebalik hud menjadi fokus utama.

Bagi varian XLE, Limited dan Nightshade, Toyota kini menggunakan sistem hibrid generasi baharu yang menggabungkan enjin petrol 2.5 liter empat silinder aspirasi semula jadi bersama dua motor elektrik.

Pengeluar itu tidak mendedahkan angka kuasa keseluruhan, namun mendakwa model berkenaan mampu mencapai anggaran penggunaan bahan api sekitar 40 batu bagi setiap gelen (mpg) secara gabungan, sedikit lebih rendah berbanding model terdahulu.

Sementara itu, varian tertinggi Crown Platinum masih mengekalkan sistem Hybrid Max yang memadankan enjin turbo 2.4 liter empat silinder dengan dua motor elektrik. Gabungan tersebut menghasilkan 340hp dan 542Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan.

Dari segi penampilan, Toyota Crown 2027 hadir standard dengan rim aloi 19-inci, manakala rim 21-inci ditawarkan sebagai pilihan.

Warna baharu dikenali sebagai Inked turut diperkenalkan, melengkapkan pilihan sedia ada seperti Oxygen White, Bronze Age, Heavy Metal, Finish Line Red dan Storm Cloud. Lencana hibrid serta pacuan semua roda (AWD) kini menerima kemasan satin yang lebih moden.

Varian Platinum pula menerima angkup brek merah sebagai ciri standard, selain kemasan hitam pada bingkai tingkap. Pilihan warna dua tona kini menggunakan penutup but yang sepadan dengan warna badan, manakala varian Nightshade tampil dengan lencana hitam baharu bagi menyerlahkan imej lebih sporty.

Ruang kabin turut dipertingkat menerusi pilihan upholsteri Saddle Tan untuk varian Limited, manakala Platinum turut menawarkan tema dalaman yang sama. Toyota turut membolehkan padanan warna dalaman tersebut dengan kemasan luaran Bronze Age.

Toyota masih belum mengumumkan tarikh rasmi jualan Crown 2027, namun model itu dijangka memasuki pasaran dalam masa terdekat.

Di Amerika Syarikat, harga permulaan Crown XLE 2027 ialah AS$42,935 (kira-kira RM175,004) termasuk caj penghantaran, meningkat sekitar AS$200 (kira-kira RM818) berbanding model sebelumnya.

Varian Nightshade turut naik sebanyak AS$200 (kira-kira RM818) kepada AS$50,260 (kira-kira RM205,863), manakala varian Limited mencatat kenaikan paling besar apabila ditawarkan pada harga AS$51,015 (kira-kira RM208,951), iaitu meningkat AS$3,770 (kira-kira RM15,419) berbanding model terdahulu.

Google ads
Back to top button