
ZEEKR 9X ‘LUMPUH’, HILANG FUNGSI PINTAR DI LUAR CHINA
Seorang pemilik SUV mewah elektrik Zeekr 9X dari China berdepan pengalaman tidak dijangka apabila sebahagian fungsi pintar kenderaannya dinyahaktifkan selama lebih 30 jam sebaik sahaja memasuki Kazakhstan dalam perjalanan darat menuju Eropah.
Insiden yang tular di media sosial itu membabitkan seorang pengguna dikenali sebagai Mr. Liu, yang mendakwa beberapa ciri penting kenderaan seperti sistem navigasi, ruang simpanan elektronik dan penutup tangki bahan api tidak lagi boleh digunakan selepas kenderaan dikesan berada di luar China.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan perjalanan rentas benua yang dirancang sejak awal menjadi lebih sukar kerana kenderaan terasa seolah-olah “hilang separuh fungsi”.
Lebih mengecewakan, beliau memaklumkan sudah memaklumkan pusat servis mengenai rancangan perjalanan ke luar negara ketika menghantar kenderaan untuk penyelenggaraan sebelum bertolak, namun tidak diberi sebarang amaran mengenai kemungkinan sekatan sistem.

Zeekr kemudian menjelaskan bahawa sekatan tersebut berlaku secara automatik selepas sistem keselamatan mengesan kenderaan berada di luar kawasan operasi yang dibenarkan.
Menurut syarikat itu, mekanisme berkenaan merupakan ciri perlindungan standard industri bagi mengelakkan risiko kecurian, penyeludupan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan import dan eksport antarabangsa.
Bagaimanapun, Zeekr menegaskan bahawa sekatan itu hanya melibatkan fungsi pintar dan tidak menjejaskan aspek pemanduan utama seperti sistem pemanduan, brek atau kuasa enjin. Kenderaan masih boleh dipandu seperti biasa.
Syarikat itu turut menjelaskan bahawa beberapa fungsi masih boleh diakses secara manual. Contohnya, port pengecas boleh dibuka dengan menekan terus pada penutupnya, manakala penutup tangki bahan api boleh dibuka dengan menekan butang lampu kecemasan selama lima saat di dalam kabin.
Menurut Zeekr, pengguna yang melakukan perjalanan rentas sempadan secara sah boleh memohon kod kebenaran bagi membuka semula fungsi yang disekat. Dalam kes Mr. Liu, sekatan tersebut akhirnya ditarik balik selepas pengesahan dibuat.
Namun begitu, syarikat itu memaklumkan bahawa kelulusan sementara hanya sah untuk satu negara. Sekiranya pemilik meneruskan perjalanan ke negara lain, sistem keselamatan mungkin akan diaktifkan semula dan memerlukan proses pengesahan baharu.
Zeekr berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pemilik berkenaan dan akan menambah baik sistem keselamatan berdasarkan maklum balas pengguna agar pengalaman perjalanan rentas sempadan menjadi lebih lancar pada masa hadapan.




