
KOS SERVIS PERODUA QV-E RM 280 JE SETAHUN
Perodua telah memperincikan jadual penyelenggaraan berkala bagi QV-E, sekali gus memberi gambaran lebih jelas mengenai kos pemilikan jangka panjang EV pertama syarikat itu. Berdasarkan jadual tersebut, jumlah kos penyelenggaraan berkala sehingga 180,000 km atau sembilan tahun dianggarkan sekitar RM2,520.50, satu angka yang dilihat cukup kompetitif berbanding kebanyakan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Jadual bmenunjukkan servis pertama pada 1,000 km atau sebulan diberikan secara percuma menerusi pemeriksaan menyeluruh kenderaan. Selepas itu, penyelenggaraan dijadualkan setiap 10,000 km atau enam bulan, bergantung kepada mana yang tiba terlebih dahulu.
Kebanyakan servis hanya melibatkan pemeriksaan asas, penukaran penapis kabin serta pemeriksaan sistem kenderaan, menyebabkan kos servis biasa hanya sekitar RM73.30. Salah satu perkara yang mungkin mengejutkan ramai ialah EV seperti QV-E masih memerlukan penukaran minyak pelincir.
Tapi ia bukan minyak enjin sebaliknya Electric Drive System (EDS) Oil, iaitu pelincir untuk sistem pacuan elektrik. Minyak ini hanya perlu ditukar setiap 40,000 km, dimana sistem pacuan EV masih menggunakan gear yang memerlukan pelinciran bagi memastikan operasi berjalan lancar.
Selain itu, bendalir brek turut dijadualkan untuk ditukar setiap 40,000 km. Walaupun EV menggunakan sistem brek regeneratif yang mengurangkan penggunaan brek konvensional, bendalir brek masih perlu diganti kerana ia menyerap kelembapan dari udara, sekali gus boleh menjejaskan prestasi sistem brek jika digunakan terlalu lama.

Sistem coolant pada QV-E bukan digunakan untuk menyejukkan enjin seperti kereta petrol, sebaliknya berfungsi mengekalkan suhu optimum bateri, motor elektrik dan komponen elektronik kuasa. Tetapi bendalir coolant hanya dijadualkan untuk ditukar pada 100,000 km, menunjukkan Perodua menggunakan sistem penyejukan yang direka untuk tempoh penggunaan yang panjang.
Sepanjang tempoh sembilan tahun atau 180,000 km, servis besar yang melibatkan penukaran minyak EDS dan bendalir brek hanya dilakukan pada 40,000 km, 80,000 km, 120,000 km dan 160,000 km. Selebihnya hanyalah penyelenggaraan ringan, sekali gus membantu mengurangkan kos pemilikan jangka panjang.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa angka RM2,520.50 ini hanyalah kos penyelenggaraan berkala seperti yang dinyatakan dalam jadual servis. Ia tidak merangkumi kos penggantian tayar, pad brek, komponen suspensi, kerosakan akibat kemalangan atau sebarang pembaikan di luar waranti termasuk komponen bateri voltan tinggi.
Secara keseluruhannya, jadual penyelenggaraan ini menunjukkan Perodua benar-benar memberi penekanan kepada aspek kos pemilikan (cost of ownership) bagi QV-E. Dengan purata kos penyelenggaraan sekitar RM280 setahun, QV-E berpotensi menjadi antara EV paling murah untuk diselenggara di Malaysia


