
OMODA & JAECOO MALAYSIA RAKAN AUTOMOTIF KLFW 2026, OMODA C7 BUAT PENAMPILAN SULUNG
OMODA & JAECOO Malaysia dilantik sebagai Rakan Automotif Rasmi Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama yang menggabungkan inovasi automotif dengan dunia fesyen dan gaya hidup moden.
Menerusi kerjasama itu, syarikat turut memperkenalkan buat kali pertama kepada orang ramai model OMODA C7 dan OMODA C7 PHEV menjelang pelancaran rasminya di pasaran Malaysia.
Pengarah Pemasaran OMODA & JAECOO Malaysia, Jackie Chua berkata, jenama OMODA sentiasa menampilkan reka bentuk futuristik, prestasi serta teknologi yang memenuhi cita rasa pengguna moden.
Menurutnya, kerjasama dengan KLFW 2026 mencerminkan komitmen syarikat terhadap inovasi, kreativiti dan gaya hidup kontemporari.

“Pelantikan sebagai Rakan Automotif Rasmi acara fesyen terkemuka negara ini turut mengukuhkan lagi kedudukan premium OMODA & JAECOO, selain menyerlahkan hubungan antara inovasi automotif dan dunia fesyen,” katanya.
KLFW 2026 dijadual berlangsung di Esplanade, Taman KLCC dari 3 hingga 9 Ogos ini, manakala OMODA C7 dan OMODA C7 PHEV akan dipamerkan kepada pengunjung sepanjang acara berkenaan.
Model SUV baharu itu menampilkan evolusi terkini falsafah reka bentuk “Art in Motion” menerusi gabungan garisan badan yang lebih dinamik, rekaan hadapan tanpa bingkai serta bentuk aerodinamik yang moden.
Bahagian hadapannya diserlahkan dengan identiti ‘shark nose’, lampu LED yang tirus, gril parametrik sewarna badan serta elemen pencahayaan heksagon bercahaya yang memberikan imej futuristik. Penampilannya dilengkapkan dengan rim aloi bersaiz 20-inci bercorak turbin.

OMODA C7 akan ditawarkan dalam dua pilihan trenkuasa. Versi petrol menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.
Sementara itu, OMODA C7 PHEV dipadankan dengan sistem Super Hybrid System (SHS) yang menggabungkan enjin turbo 1.5 liter bersama Dedicated Hybrid Transmission (DHT), sekali gus menawarkan kecekapan bahan api serta jarak pemanduan yang lebih jauh.
Di bahagian kabin, SUV itu mengetengahkan konsep minimalis dengan paparan infotainmen bersaiz 15.6-inci, kemasan dalaman premium serta pelbagai ciri moden termasuk pengecas telefon pintar tanpa wayar 50W.
Selain mempamerkan kenderaan, OMODA & JAECOO Malaysia turut mengumumkan kerjasama eksklusif bersama jenama fesyen tempatan, BEHATI, yang terkenal dengan gabungan elemen busana tradisional Malaysia dan rekaan streetwear kontemporari.
Kolaborasi tersebut bertujuan mengetengahkan kreativiti serta pendekatan reka bentuk progresif yang selari dengan identiti OMODA C7.
Orang ramai boleh melihat lebih dekat OMODA C7 dan OMODA C7 PHEV menerusi pameran khas yang berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos 2026 di Suria KLCC.





