Buletin

PERANG HARGA EV: PERODUA TURUNKAN HARGA QV-E SAINGI PROTON E.MAS 5 – KENANGA RESEARCH

Persaingan pasaran kenderaan elektrik (EV) nasional kini semakin rancak apabila Perodua membuat kejutan dengan menurunkan harga model Perodua QV-E bermula Jun 2026.

Berdasarkan nota penyelidikan Kenanga Research, harga baharu bagi kenderaan berkenaan kini ditetapkan pada RM63,499 berbanding harga asal RM80,000 sebelum ini.

Penganalisis Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz melaporkan, penurunan harga itu turut didatangkan bersama program pajakan bateri (BaaS) pada kadar RM215 sebulan, menurun berbanding kadar RM275 sebulan sebelumnya. Pembelian secara terus tanpa pajakan bateri pula ditetapkan pada harga RM87,499.

“Kami percaya harga yang lebih rendah ini akan mendapat permintaan yang lebih baik daripada penetapan harga sebelum ini, namun masih dalam persaingan yang rapat dan sengit dengan model Proton eMas 5,” katanya di dalam laporan berkenaan.

Langkah agresif Perodua itu dilihat sebagai usaha untuk menyaingi Proton e.Mas 5, yang kini menduduki tempat pertama sebagai model EV paling laris bagi tahun 2026 berikutan jualan jenama e.Mas yang mencecah 26,492 unit setakat tahun ini.

Pertembungan dua gergasi automotif negara ini adalah selari dengan lonjakan jualan EV secara keseluruhan, yang mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 106 peratus kepada 26,192 unit pada separuh pertama 2026 berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Selain segmen EV, jumlah keseluruhan kenderaan industri (TIV) bagi Jun 2026 juga telah melonjak sebanyak 11 peratus berbanding bulan sebelumnya dan 23 peratus secara tahunan, di mana ia banyak disokong oleh rekod tempahan tertunggak yang tinggi iaitu 152,000 unit.

Penguasaan pasaran kenderaan keseluruhannya terus memihak kepada jenama nasional pada tahap 66 peratus, dipacu oleh Perodua yang menyumbang 41 peratus serta Proton pada 25 peratus hasil sokongan permintaan yang berterusan terhadap segmen kenderaan mampu milik.

Beralih kepada segmen kenderaan bukan nasional, strategi pemberian tawaran serta diskaun promosi telah mengubah landskap persaingan apabila jenama Honda berjaya merampas tempat pertama pada Jun 2026 dengan 29 peratus pegangan pasaran, sekaligus meninggalkan Toyota di tempat kedua dengan 26 peratus.

Persaingan jualan yang rancak itu juga menyaksikan jenama EV dari China iaitu BYD, yang berpotensi dipasang oleh Inokom Corporation Sdn Bhd, menduduki tempat ketiga dengan enam peratus pegangan hasil promosi penghabisan stok, sekaligus memintas jenama Mazda yang turun ke kedudukan keempat.

Walaupun momentum jualan EV sentiasa menunjukkan corak yang positif, pihak penganalisis meramalkan peralihan sepenuhnya pasaran kepada kenderaan elektrik bateri (BEV) masih lagi perlahan kerana negara berdepan cabaran kelengkapan infrastruktur. Pembinaan stesen pengecas awam setakat ini didapati agak ketinggalan dengan rekod hanya 5,719 unit disiapkan atau 57 peratus berbanding sasaran asal kerajaan sebanyak 10,000 unit.

Pasaran domestik yang masih dilindungi oleh mekanisme harga bahan api bersubsidi juga kekal menjadi rintangan, memandangkan ia menawarkan kadar insentif yang lebih rendah untuk mendorong golongan berpendapatan sederhana serta rendah beralih ke arah EV. – Berita Harian

Google ads
Back to top button