
TOYOTA GR YARIS VS MITSUBISHI EVO VI. TOMMI VS MAKINEN. DRAG RACE BEZA SEJENGKAL SAJA
Kereta mana lagi hebat? Toyota GR Yaris atau Mitsubishi Evolution VI Tommi Makinen? Bagi menjawab persoalan tersebut, rancangan permotoran Carwow telah mengadakan satu ujian perlumbaan antara kedua dua kereta ini.
Ujian ini merangkumi 3 ujian perlumbaan drag, 2 ujian rolling test dan 1 ujian brek. Ujian ini boleh diibaratkan sebagai ujian perlumbaan antara datuk dengan cucu bagi menentukan siapa lagi hebat.
Walaupun lahir daripada dua pembuat kereta yang berbeza, namun Toyota GR Yaris dan Mitsubishi Evo VI ini ada beberapa persamaan.
Pertama, kedua-dua model ini dihasilkan oleh pembuat kereta daripada Jepun iaitu Toyota dan Mitsubishi. Kedua, GR Yaris dan Evo VI merupakan kereta homologasi perlumbaan rali yang dibuat untuk digunakan atas jalan raya. Ketiga ialah GR Yaris dan Evo VI ada kaitan dengan Tommi Makinen.
Evo VI Tommi Makinen merupakan satu model khas yang dibuat oleh Mitsubishi bagi meraikan kemenangan mereka dalam empat kejuaraan perlumbaan rali dan dilancarkan pada tahun 1999. Ia hadir dalam dua varian sama ada RS atau GSR. Bagi model GR Yaris pula, model ini dihasilkan dengan penglibatan Tommi Makinen yang bertindak sebagai penasihat dan pemandu ujian bagi GR Yaris.
Sebagai perbandingan Mitsubishi Evo VI yang digunakan dalam video ini datang dengan enjin 4 silinder turbo 4G63 2000cc. Ia menghasilkan 276 kuasa kuda dan tork 373nm, dipadankan dengan transmisi 5 kelajuan manual serta dengan sistem AWD. Namun dengan berat sekitar 1,360kg, ia sedikit sebanyak membantutkan prestasinya.
Toyota GR Yaris pula datang dengan enjin 1600cc G16E-GTS yang menghasilkan 261 kuasa kuda (spesifikasi UK) dan 360Nm tork.
Dengan berat sekitar 1,280kg sahaja, sistem gear 6 kelajuan manual yang disertakan dengan fungsi blip throttle dan sistem AWD pintar itu boleh menghantar 70% kuasa ke tayar belakang dan 30% kuasa ke tayar depan untuk cengkaman yang bagus ketika mula memecut. GR Yaris boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 5.5 saat sahaja.
Jadi untuk tahu kereta mana lebih power, anda boleh tonton video di bawah: