Artikel Pilihan

TRAK TUNDA MANA YANG SESUAI UNTUK ANDA?

Rakan media permotoran kami Aurizn Malaysia memaparkan gambar sebuah SUV buatan Subaru yang ditarik oleh trak tunda secara salah. Subaru XV yang ditunda itu datang dengan teknologi All Wheel Drive iaitu kuasa dari enjin akan dihantar pada semua tayar melalui sistem Center Differential.

Kaedah tunda SUV ini sedikit berbeza dari kereta RWD ataupun FWD biasa. Jadi menunda Subaru XV dengan menggunakan kaedah Wheel Lift Tow Truck bukanlah kaedah yang terbaik bagi mengelakkan kerosakan pada sistem AWD SUV ini

Sejarah mencatatkan bahawa trak tunda pertama yang dihasilkan secara komersial telah dicipta oleh Ferdinand Porsche (ya pengasas syarikat Porsche) yang pada asalnya dibuat untuk menunda meriam artileri bagi kegunaan pasukan tentera Austria. Namun satu kumpulan daripada trak ini digunakan sebagai trak penunda.

Di Amerika pula, Ernest Holmes mendapat ilham untuk menghasilkan trak penunda pada tahun 1916 selepas mendapati keadaan menjadi amat sukar untuk dia dan rakan-rakannya menunda sebuah kereta keluar dari anak sungai. Mereka memerlukan tali dan 6 orang untuk menarik kereta tersebut keluar dari kawasan kemalangan.

Jadi mari kita tengok jenis-jenis trak tunda yang digunakan di Malaysia dan apakah kelebihan setiap rekaan yang digunakan.

Trak Penunda dengan cangkuk dan rantai besi

Satu ketika dulu trak penunda ini ialah yang paling terkenal di Malaysia. Paling terkenal ialah ia menggunakan cesi Daihatsu Delta 1 tan dengan enjin diesel 2500cc. Rantai besi dan cangkuk akan dipasang pada bahagian bawah cesi kereta yang ingin ditunda contohnya di bahagian depan kereta.

Namun ia akan menyebabkan bahagian belakang kereta seperti bampar belakang, panel badan kenderaan mungkin boleh tercalar dan cara seretan yang dibuat akan menyebabkan beberapa komponen mekanikal seperti gear dan komponen penghantaran kuasa. Jadi ia hanya sesuai untk digunakan untuk membawa kereta yang sudah rosak teruk untuk dihantar ke pusat pelupusan.

Trak Penunda dengan kaedah mengangkat tayar

Dalam bahasa Inggeris ia disebut wheel – lift tow truck di mana terdapat mekanisma khas yang beroperasi dengan bantuan kuasa hidraulik. Komponen besi akan memegang tayar depan ataupun belakang dan mengangkat kenderaan tunda tinggi sedikit berbanding dengan permukaan jalan.

Mekanisma besi ini hanya akan bersentuh dengan tayar sahaja berbanding dengan kaedah cangkuk dan rantai besi yang diikat pada bahagian bawah cesi. Bagi menghalang kerosakan pada sistem gear dan penghantaran kuasa, adalah lebih baik jika kaedah ini digandingkan dengan menggunakan roda doli. Contohnya jika bahagian depan ditunda, maka bahagian belakang perlu diletakkan di atas roda doli

Trak Penunda dengan Lantai Rata

Flatbed ialah istilah yang diberikan oleh mekanik pada trak penunda jenis ini. Secara umumnya ia merupakan sebuah trak dengan bahagian belakang yang dipasang dengan tanjakan besi pada bahagian cesi yang membentuk lantai bagi membolehkan kereta rosak diparkir di atasnya dengan selamat.

Dengan bantuan kuasa hidraulik, flatbed atau lantai besi ini boleh diturunkan bagi membentuk tanjakan. Kereta yang rosak boleh dipandu naik atau ditarik dengan menggunakan mekanisma winch. Berbanding dengan kaedah no 2 yang terdedah pada serpihan pada permukaan jalan, kaedah ini merupakan kaedah yang paling selamat untuk membawa kereta yang rosak termasuklah 4WD dan juga AWD

Kelemahannya ialah ia mungkin mengambil sedikit masa untuk memastikan kereta yang rosak diikat dengan betul pada flatbed. Tambahan pula trak jenis ini agak panjang berbanding dengan trak yang lain jadi pemandu akan mengalami sedikit kesukaran sekiranya masuk ke kawasan rumah pangsapuri dengan kereta yang diparkir secara bersepah-sepah

Trak Penunda Tugas Khas (Heavy Duty)

Kadangkala bengkel perlu menunda bukan sahaja kereta ataupun SUV, namun terpaksa menunda bas dan juga lori kontena yang sangat berat. Jadi tugas ini akan diambil oleh prime mover atau lori besar yang dibuat khas untuk menunda kenderaan berat.

Trak penunda heavy duty ini mampu menarik lori kontena beserta dengan kontena isian penuh. Kalau sudah bawak kontena berisi barang berharga ataupun sedang menunda tangki berisi diesel penuh mustahil la nak tinggal tepi jalan. Nanti Geng Dominic Toretto datang amik. Diesel dan petrol negara kita kan murah.

Google ads
Back to top button