,
Buletin

GURU LELAKI BAWA YAMAHA R1 DITAHAN TERLIBAT DALAM LUMBA HARAM

Seorang guru lelaki ditahan polis kerana didakwa berlumba haram di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dekat Balik Pulau, semalam.

Guru yang dikatakan menunggang sebuah Yamaha YZF-R1 itu ditahan bersama seorang lagi lelaki yang menunggang sebuah Aprilia RSV4 berwarna merah dan bekerja sebagai tukang masak berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan memberitahu guru  berusia 25 tahun itu masih dalam tempoh percubaan dan mengajar di sebuah sekolah menengah di kawasan Timur Laut.

“Kedua-dua suspek berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan kita merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” kata Anbalagan.

Ditanya sama ada dua suspek terbabit bertaruh wang ketika berlumba,  Anbalagan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pemeriksaan air kencing mendapati kedua-dua mereka bebas daripada sebarang pengaruh dadah.

Sekumpulan mat rempit dikatakan sentiasa menjadikan laluan sepanjang lebuh raya berkenaan untuk berlumba terutama pada malam minggu.

Perlumbaan biasanya bermula dari lampu isyarat Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/Jalan Kampung Jawa sehingga lampu isyarat medan selera Seagate sebelum berpatah balik.

sumber: Harian Metro

Tags
Google ads
Back to top button