,
Buletin

DYSON BATAL PROJEK KERETA ELEKTRIK – DAKWA TIADA PIHAK BERMINAT NAK BELI

Dyson, syarikat teknologi yang terkenal dengan produk vakum, Dyson dilapor telah membatalkan hasrat untuk membina kereta elektrik.

Firma yang diterajui oleh Sir James Dyson itu memberitahu pihaknya sudah membangunkan sebuah kereta elektrik yang mengagumkan. Tetapi jentera itu tidak akan berada di atas jalan raya kerana secara komersialnya ia mungkin tidak berjaya.

Dalam satu e-mel yang dihantar ke semua kakitangannya, Sir James menyatakan syarikat gagal mencari pembeli projek kereta elektrik tersebut. Divisyen itu menggaji 500 orang pekerja.

Dengan perkembangan ini, Dyson mengumumkan akan menutup kemudahan kereta elektrik di Singapura dan United Kingdom.  

Sebelum ini, Dyson merancang melabur lebih £2 bilion (RM10.5 bilion) untuk membangunkan sebuah kereta elektrik yang radikal dan berbeza. Projek itu dilancarkan pada tahun 2016. Dyson juga menyatakan bahawa kereta itu tidak disasarkan kepada pasaran massa.

Separuh daripada dana akan digunakan untuk membangunkan kereta, sementara bakinya bagi membina bateri elektrik.

Pada Oktober 2018, Dyson mendedahkan rancangan untuk membina kereta baharu di Singapura. Ia djiangka siap tahun depan dan mula diproduksi pada tahun 2021.

Dyson mahu menghasilkan sesuatu yang revolusionari, tetapi ia juga harus boleh dijual, malangnya apa yang dirancang nampaknya tidak menjadi.

Di seluruh dunia, jualan kereta elektrik semakin meningkat. Namun, kos penghasilannya masih tinggi berbanding kereta konvensional, sekali gus mengurangkan keuntungan pengeluar.   

Pengeluar kenderaan utama seperti Volkswagen mampu untuk membelanjakan berbilion dolar ke dalam industri EV. Ini banyak disumbang oleh aspek skala ekonomi yang boleh membuatkan teknologi menjadi lebih murah dan menjana keuntungan.  

Dyson mengakui ia tidak mampu untuk bersaing dengan syarikat-syarikat besar. Namun, ia akan meneruskan usaha membangunkan teknologi bateri.  

Google ads
Back to top button