Buletin

VAMOS – TRAK KECIL HONDA DENGAN REKA BENTUK PELIK 

Kita sedia maklum bahawa Honda telah menghasilkan begitu banyak model yang menarik dan cukup disukai di seluruh dunia.

Malah ada sebahagian daripada model tersebut sudah mencapai status lejen. Namun, seperti mana-mana pengeluar kenderaan yang lain, Honda juga pernah menghasilkan kereta yang agak pelik reka bentuknya.

Ada yang berpendapat ia unik. Tetapi tidak kurang juga beranggapan Honda Vamos sebagai sebuah model yang buruk. 

Honda Vamos yang diperkenalkan sekitar tahun 1970 hingga 1973 dikategorikan sebagai kei trak. Dibina berasaskan kepada model Honda TN360, trak kecil itu menggunakan khidmat enjin dua silinder bersesaran 354cc dengan sistem penyejukan udara.

Pada ketika itu, ia bersaing dengan model-model seangkatan seperti Suzuki Jimny dan buggy Daihatsu Fellow. Dilaporkan hanya 2,500 unit Vamos berjaya dijual. Jika dilihat kepada brosur, Vamos sesuai untuk kegunaan riadah seperti berkelah, memancing dan sebagainya.

Versatiliti Vamos dipertingkat menerusi konfigurasi bumbung yang boleh dipilih mengikut kecenderungan pembeli. Reka bentuk dengan tayar ganti diletakkan di bahagian hadapan membuatkannya kelihatan seperti Volkswagen Type 2. Malangnya, ia kurang popular kerana tidak dilengkapi pacuan empat roda.

Sebagai sebuah trak serba guna, tempat duduk belakang boleh dibuka. Varian dua atau empat duduki dikenali sebagai Vamos 2 atau Vamos 4. Memandangkan jentera itu tidak berbumbung, maka semua instrumentasi serta suis adalah kalis air dan debu.

Dari segi suspensi, Vamos menggunakan topang MacPherson di hadapan dan tiub De Dion dengan pegas gegelung untuk roda belakang.

Honda memperkenalkan semula nama Vamos pada tahun 1999 dan kembarnya, Vamos Hobio pada tahun 2003. Berbeza dengan Vamos yang asal, ia kini hadir sebagai sebuah minivan.

Google ads
Back to top button