
HONDA AS PANGGIL BALIK 810K KERETA- BEG UDARA TAKATA
Krisis beg udara Takata nampaknya masih belum berakhir apabila Honda mengumumkan satu lagi kempen panggil balik besar-besaran melibatkan 810,592 kenderaan di Amerika Syarikat. Kempen terbaru ini melibatkan inflator beg udara yang dilengkapi bahan penyerap kelembapan atau desiccant, komponen yang sepatutnya membantu mengurangkan risiko kerosakan akibat pendedahan kepada kelembapan.
Kempen yang diumumkan pada 20 November 2026 itu melibatkan beberapa model Honda dan Acura keluaran 2012 hingga 2013 seperti Honda Accord 2013, Honda Civic 2012 dan 2013, Honda CR-V 2012 dan 2013, Acura ILX 2013 serta Acura RDX 2013. Namun panggilan balik tersebut hanya membabitkan kenderaan yang asalnya dijual di 14 negeri yang mempunyai keadaan persekitaran yang ideal untuk kerosakan beg udara
Masalah ini sekali lagi berkait dengan inflator beg udara Takata, iaitu komponen yang bertanggungjawab menghasilkan gas bagi mengembangkan beg udara apabila berlaku kemalangan. Dalam keadaan normal, inflator perlu menghasilkan tekanan gas dengan pantas supaya beg udara dapat mengembang dan melindungi pemandu serta penumpang.
Namun bahan pendorong kimia di dalam inflator boleh mengalami degradasi selepas terdedah dalam tempoh panjang kepada suhu tinggi, kelembapan dan perubahan suhu persekitaran. Apabila rosak, tindak balas kimia ketika beg udara diaktifkan berpotensi menghasilkan tekanan berlebihan sehingga menyebabkan perumah inflator pecah.

Keadaan tersebut boleh mengakibatkan serpihan logam terpelanting ke dalam ruang kabin dan mengenai pemandu atau penumpang. Dalam kes paling serius, kegagalan inflator seperti ini boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian. Apa yang lebih membimbangkan ialah inflator yang terlibat sebenarnya sudah menggunakan bahan penyerap kelembapan atau desiccant.
Bahan ini direka untuk mengawal kelembapan di dalam inflator dan mengurangkan risiko degradasi bahan pendorong. Kebanyakan kempen Takata terdahulu pula melibatkan inflator yang tidak mempunyai bahan perlindungan tambahan tersebut. Namun pemantauan jangka panjang mendapati bahan pendorong dalam sesetengah inflator yang menggunakan desiccant masih berpotensi mengalami degradasi.
Ini menunjukkan bahawa penggunaan bahan penyerap kelembapan tidak semestinya menjamin komponen berkenaan bebas daripada risiko kerosakan sepanjang hayat penggunaannya. Menurut laporan Honda kepada National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), tanda-tanda degradasi mula dikenal pasti menerusi ujian simulasi pada Mei 2025.
Ujian tersebut dilakukan dalam keadaan persekitaran ekstrem yang melibatkan suhu tinggi dan kelembapan. Walaupun inflator yang diuji masih berada dalam parameter operasi normal, hasil pemantauan dan analisis seterusnya mendorong Honda mengambil tindakan pencegahan.

Pada 19 November 2026, Honda akhirnya menentukan bahawa terdapat kecacatan yang berkaitan dengan keselamatan pada komponen tersebut sebelum mengumumkan kempen panggil balik sehari kemudian. Recall ini didaftarkan dengan NHTSA menggunakan nombor kempen 26V765.
Setakat ini Honda mengesahkan bahawa setakat pengumuman dibuat, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai inflator pecah, kecederaan atau kematian yang berkaitan dengan komponen dalam kempen terbaru ini. Tetapi Honda tidak mahu mengambil risiko memandangkan kegagalan inflator boleh membawa akibat yang sangat serius.
Honda akan menggantikan inflator beg udara hadapan sebelah pemandu atau penumpang yang terlibat secara percuma yang diperoleh daripada pembekal berbeza dan menggunakan formulasi bahan pendorong kimia yang berlainan, dan direka supaya tidak mengalami degradasi jangka panjang akibat pendedahan kepada suhu tinggi, kelembapan serta perubahan suhu ketara.
Bagi pasaran Malaysia, belum ada pengesahan bahawa model Honda Civic, Accord atau CR-V yang dijual di Malaysia turut terlibat dalam kempen sama. Pemilik kenderaan terpakai atau unit import juga disarankan membuat semakan nombor casis dengan Honda bagi memastikan status sebenar kenderaan masing-masing.

Untuk rekod, krisis beg udara Takata merupakan antara kempen panggil balik terbesar dalam sejarah industri automotif. Sejak 2009, inflator Takata yang bermasalah telah dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 28 kematian dan lebih 400 kecederaan di Amerika Syarikat. Secara global, lebih 100 juta kenderaan daripada pelbagai pengeluar telah terlibat dalam kempen penggantian inflator Takata.
Sumber rujukan:








