
HONDA TAWAR 3000 ALAT GANTI TULEN UNTUK NSX
Honda menerusi jenama premium Acura, kini menawarkan lebih 3,000 alat ganti reproduksi untuk model NSX generasi pertama di Amerika Syarikat. Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu pemilik mengekalkan kereta sport berkenaan dalam keadaan baik, selepas banyak komponen asal semakin sukar diperoleh selepas pengeluarannya dihentikan lebih dua dekad lalu.
Program yang dikenali sebagai Honda Heritage Parts itu merupakan sebahagian daripada usaha Honda untuk memastikan model NSX terus boleh digunakan dan diselenggara. NSX generasi pertama yang dipasarkan antara tahun 1991 hingga 2005 di Amerika Syarikat dipilih sebagai model utama program tersebut sebelum ia ditawarkan kepada model Honda dan Acura klasik yang lain.
Honda bukan sekadar menawarkan alat ganti penyelenggaraan biasa seperti penapis minyak atau palam pencucuh, malah program tersebut turut merangkumi pelbagai komponen mekanikal, enjin, transmisi, sistem elektrik, badan kenderaan dan kemasan dalaman yang sebelum ini mungkin sukar didapati dalam keadaan baharu.
Honda membahagikan alat ganti yang ditawarkan kepada dua kategori utama, iaitu Genuine Honda Reproduction Parts dan Honda Compatible Parts. Kategori pertama merangkumi komponen yang dihasilkan semula menggunakan bahan serta kaedah pembuatan seperti alat ganti asal, manakala kategori kedua melibatkan komponen pengganti yang dibangunkan menggunakan pendekatan dan teknologi pembuatan lebih moden.

Pendekatan ini membolehkan Honda menghasilkan semula komponen yang sudah lama dihentikan pengeluarannya tanpa perlu menggunakan keseluruhan proses pembuatan asal. Pada masa sama, ia memberi peluang kepada pemilik NSX untuk mendapatkan alat ganti yang bersesuaian dengan spesifikasi kenderaan mereka.
Sebagai contoh, bagi Acura NSX keluaran 1994 yang dilengkapi transmisi automatik empat kelajuan, Honda menawarkan pelbagai komponen enjin termasuk penyuntik bahan api, throttle body, komponen manifold ekzos, penyejuk minyak, alternator, penutup kepala silinder, aci sesondol dan tali sawat pemasaan.
Komponen transmisi juga tidak dilupakan dengan pemilik boleh mendapatkan pelbagai alat ganti untuk transmisi manual dan automatik seperti perumah transmisi, aci gear, shift fork, bolt serta komponen mekanisme penukaran gear. Tetapi stok alat ganti tersebut bergantung kepada tahun pengeluaran dan spesifikasi kenderaan.

Selain komponen mekanikal, Honda turut menawarkan pelbagai alat ganti untuk sistem penyejukan, ekzos, pendawaian elektrik dan pencahayaan. Alat ganti ini termasuklah radiator, penyambung elektrik, lampu hadapan, lampu belakang serta komponen panel instrumen.
Bahagian casis dan pengendalian turut diberikan perhatian dengan penyediaan komponen sistem brek, penyerap hentak serta roda. Ini membolehkan pemilik yang mahu melakukan kerja restorasi mengekalkan ciri pengendalian dan penampilan asal NSX tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada komponen terpakai atau alat ganti aftermarket.
Malah komponen badan dan kabin seperti cermin hadapan serta pelbagai kemasan dalaman turut disenaraikan dalam program tersebut. Bagi pemilik yang mahu mengembalikan keadaan NSX kepada spesifikasi asal kilang, kewujudan komponen sebegini amat penting kerana sesetengah bahagian kemasan mungkin sudah tidak lagi dihasilkan sejak bertahun-tahun lalu.
Malangnya buat masa ini, semua alat ganti yang ditawarkan menerusi Honda Heritage Parts hanya boleh diperolehi melalui rangkaian pengedar Acura di Amerika Syarikat atau dibeli secara dalam talian menggunakan platform Honda DreamShop dan bukan di Malaysia

Selain menawarkan alat ganti reproduksi, Honda juga mempunyai program restorasi khas yang dikenali sebagai Honda Restoration Service di Jepun. Program tersebut membolehkan pemilik NSX generasi pertama spesifikasi pasaran Jepun mendapatkan perkhidmatan baik pulih menggunakan komponen yang disediakan oleh Honda.
Namun sekali lagi perkhidmatan restorasi penuh itu masih tertumpu kepada pasaran Jepun dan belum diperluaskan ke mana-mana negara. Buat masa ini, pelanggan Acura di Amerika Syarikat boleh mendapatkan alat ganti melalui program Honda Heritage Parts untuk melakukan kerja penyelenggaraan atau restorasi kenderaan masing-masing.
Diperkenalkan pada tahun 1990, Honda NSX generasi pertama menggunakan susun atur enjin pertengahan dengan pacuan roda belakang serta struktur badan aluminium yang ringan. Ia turut dilengkapi enjin V6 aspirasi natural dengan teknologi VTEC yang menjadi antara ciri utama model berkenaan.
NSX juga terkenal dengan penglibatan legenda Formula Satu, Ayrton Senna, dalam proses penilaian dan pembangunan pengendaliannya. Gabungan prestasi, kebolehpercayaan serta kemudahan penggunaan harian menjadikan NSX sebuah kereta sport yang cukup berpengaruh pada zamannya.
Selepas lebih tiga dekad sejak diperkenalkan, NSX generasi pertama kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan pengumpul kereta klasik. Bagaimanapun, peningkatan usia kenderaan menyebabkan pemilik berdepan cabaran mendapatkan komponen pengganti, khususnya alat ganti khusus yang tidak dikongsi dengan model Honda lain.









