Buletin

HONDA RN0 2027, E-MTB PERTAMA HONDA!

Honda memasuki segmen basikal gunung elektrik (e-MTB) menerusi Honda RN0 2027, hasil kerjasama pengeluar basikal elektrik premium ROTWILD dan Shimano yang menggabungkan pengalaman kejuruteraan motosikal Honda dengan kepakaran kedua-dua rakan tersebut.

Antara ciri utama RN0 ialah rangka gentian karbon monocoque berinspirasikan motosikal, sistem lengan ayun Gullwing dan unit pacuan elektrik Shimano generasi baharu.

Honda RN0 mempunyai berat 23.5kg dan ditawarkan dalam tiga pilihan saiz rangka iaitu S, M dan L.

Sejarah Honda Dalam Dunia Basikal Elektrik

Honda memulakan sejarahnya dalam bidang mobiliti dua roda pada 1946 menerusi Batabata, iaitu enjin kecil yang dipasang pada basikal.

Selepas itu, Honda memperkenalkan beberapa model bantuan elektrik.

Di antaranya Raccoon pada 1995, Raccoon CX pada 1996 serta Raccoon Compo pada 1998 dan Step Compo pada 2001.

Pada awal 2000-an, Honda turut membangunkan projek RN01, sebuah basikal khusus untuk perlumbaan downhill.

Model itu tampil dalam beberapa pertandingan domestik dan antarabangsa termasuk UCI Mountain Bike World Cup.

Pasukan Team G Cross Honda mencatat beberapa kemenangan perlumbaan.

Kejayaan utama muncul apabila pasukan itu meraih gelaran keseluruhan UCI Downhill World Cup pada 2005.

Nama RN0 pula mengambil inspirasi daripada RN01 sebagai penghormatan kepada projek basikal gunung terdahulu Honda.

Rangka Karbon Monocoque dan Sistem Gullwing

Honda RN0 menggunakan rangka gentian karbon monocoque berbentuk Y yang menghubungkan tiub kepala terus ke gandar belakang.

Struktur ini dibangunkan bersama ROTWILD untuk mengimbangi kecekapan kayuhan, maklum balas permukaan laluan dan keupayaan menyerap hentakan.

Sistem lengan ayun Gullwing pula membantu meningkatkan pemindahan kuasa kayuhan sambil mengekalkan kestabilan ketika melalui permukaan tidak rata.

Honda turut mengoptimumkan geometri rangka untuk kegunaan all-mountain.

Setiap saiz S, M dan L mempunyai ukuran tersendiri bagi mengekalkan karakter pengendalian yang konsisten.

Antara ukuran utama rangka ialah:

  • Sudut kepala: 65 darjah.
  • Sudut tiub pelana: 76.5 darjah.
  • Jarak roda: 1,201mm (S), 1,230mm (M) dan 1,259mm (L).
  • Reach: 430mm (S), 455mm (M) dan 480mm (L).
  • Stack: 631mm (S), 640mm (M) dan 649mm (L).
  • Ketinggian pendakap bawah: 345mm.
  • Panjang chainstay: 442mm.

Suspensi FOX, Roda dan Sistem Brek

Sistem suspensi menggunakan komponen FOX Factory bersalut Kashima.

Di hadapan terdapat fork FOX 36 Float Factory Kashima dengan jarak gerakan 160mm.

Ia mempunyai pelarasan mampatan kelajuan tinggi dan rendah serta lantunan kelajuan tinggi dan rendah.

Bahagian belakang menggunakan penyerap hentak FOX Float X Factory Kashima dengan jarak gerakan 145mm.

Pelarasannya merangkumi mampatan kelajuan rendah dan lantunan.

Komponen lain termasuk:

  • Hendal ROTWILD BD280 dan batang hendal S140.
  • Headset Acros MOD56 dengan pilihan kit pelarasan MOD66.
  • Tiang pelana boleh laras Crankbrothers Highline 3 dengan jarak gerakan 125mm hingga 170mm mengikut saiz rangka.
  • Pelana Ergon SM10 dan pemegang hendal Ergon GDH Team.Ergon GDH Team.

RN0 menggunakan konfigurasi roda berbeza saiz (mullet) iaitu 29 inci di hadapan dan 27.5 inci di belakang.

Kedua-duanya menggunakan roda DT Swiss H1900 dan tayar Schwalbe Albert EVO Trail TLR Soft berukuran 29 x 2.5 inci di hadapan serta 27.5 x 2.5 inci di belakang.

Sistem brek menggunakan brek Shimano XT empat piston dengan cakera RT-CL700 berukuran 203mm pada kedua-dua roda.

Motor Elektrik Shimano 100Nm dan Bateri 720Wh

Honda RN0 menggunakan unit pacuan Shimano generasi baharu yang lebih kompak, ringan dan berkuasa berbanding unit EP801 terdahulu.

Motor seberat 2.3kg itu menghasilkan tork maksimum 100Nm dan kuasa puncak 750W.

Sistem ini mendapat bekalan tenaga daripada bateri Shimano boleh tanggal berkapasiti 720Wh dan 43.2V.

Unit pacuan tersebut mampu memberikan bantuan kayuhan sehingga kadar putaran 160rpm, berbanding 120rpm pada unit terdahulu.

Tiga mod tunggangan disediakan:

  • Eco
  • Trail+
  • Boost

Mod Trail+ dilengkapi teknologi Auto Assist yang melaraskan bantuan kuasa berdasarkan input kayuhan dan kecerunan laluan.

Apabila mendaki, bantuan kuasa meningkat secara berperingkat bagi membantu mengurangkan gelinciran roda belakang dan kecenderungan roda hadapan terangkat.

Sistem Assist Carry Over pula mengekalkan bantuan elektrik untuk tempoh singkat selepas penunggang berhenti mengayuh.

Fungsi ini membantu mengekalkan momentum dan cengkaman ketika melalui halangan seperti batu, akar pokok dan permukaan bertingkat.

Transmisi Elektronik Shimano Deore XT Di2

Sistem transmisi menggunakan Shimano Deore XT Di2 elektronik 12 kelajuan dengan pemindah gigi belakang RD-M8290.

Ia digabungkan dengan kaset Shimano Deore CS-M6200-12 berjulatan 10-51T dan gegancu hadapan 34T.

Teknologi Auto Shift memilih gear secara automatik untuk mengekalkan kadar kayuhan antara 70 hingga 160rpm.

Sistem ini berfungsi bersama Auto Assist bagi mengurangkan beban penunggang ketika mendaki atau melalui laluan teknikal.

Antara fungsi tambahan ialah:

  • Free Shift membolehkan gear ditukar ketika basikal bergerak tanpa kayuhan.
  • Lift And Shift memilih gear lebih rendah ketika memulakan kayuhan semula di laluan mendaki. Penunggang hanya perlu mengangkat roda belakang dan menekan suis mod.
  • Assist Carry Over mengekalkan bantuan kuasa seketika selepas kayuhan dihentikan.

Kombinasi teknologi ini membantu mengekalkan momentum, cengkaman dan kelancaran kayuhan mengikut keadaan permukaan laluan.

Skrin Warna 2.2 Inci dan Aplikasi Shimano Connect

Maklumat tunggangan dipaparkan menerusi skrin warna Shimano SC-EN700 bersaiz 2.2 inci yang disepadukan pada tiub atas rangka.

Skrin tersebut turut mempunyai port USB-C untuk mengecas peranti dan menyokong fungsi diagnostik.

Kawalan sistem dilakukan menerusi suis tanpa wayar Shimano SW-UT600-LR.

Aplikasi mudah alih Shimano Connect pula menawarkan beberapa fungsi:

  • Bertindak sebagai komputer basikal untuk merekod perjalanan.
  • Melaraskan karakter dan tetapan motor mengikut keperluan penunggang.
  • Mengemas kini perisian komponen.
  • Mengunci dan membuka kunci sistem elektronik menggunakan telefon pintar.

Sistem akan dikunci secara automatik apabila basikal dimatikan.

Untuk membukanya, penunggang hanya perlu menghidupkan telefon pintar yang mempunyai aplikasi tersebut berdekatan dengan basikal.

Warna dan Aksesori Pilihan

Honda RN0 2027 ditawarkan dalam satu pilihan warna iaitu Pearl Moon Ash Gray.

Pembeli turut boleh mendapatkan Variable Headset sebagai aksesori pilihan.

Komponen ini membolehkan sudut kepala dilaraskan sebanyak ±0.6 darjah dan jarak reach sebanyak ±5mm untuk saiz rangka M dan L.

Penyesuaian tersebut membolehkan geometri basikal diubah mengikut posisi tunggangan yang dikehendaki.

Google ads
Back to top button