Buletin

VOLVO EX30 BLACK EDITION TAMPIL JAHAT DI UK!

Volvo memperkenalkan EX30 Black Edition untuk pasaran United Kingdom (UK) dengan penampilan yang menonjol dan eksklusif.

Identiti utama EX30 Black Edition terletak pada perincian serba hitam kilatan tinggi yang memberikan imej anggun, misteri dan ‘jahat’.

Varian ini hanya ditawarkan dengan satu pilihan warna iaitu Onyx Black yang memberikan kesan kilauan pada waktu siang dan tampak sangat eksklusif dalam keadaan cahaya rendah.

Pada bahagian hadapan, sentuhan hitam dikenakan pada jalur gril dan logo iron mark manakala di bahagian belakang, tulisan Volvo serta lencana nama model juga berwarna hitam kilatan tinggi.

Penampilan ini diperkukuhkan lagi dengan spoiler bumbung dan perumah cermin sisi yang menggunakan warna selaras badan kereta.

Melengkapkan gaya luaran adalah penggunaan rim bersaiz 19 inci dalam kemasan hitam kilatan tinggi serta cermin tingkap belakang yang digelapkan.

Ruang Kabin Indigo Eksklusif

Bagi mengimbangi kehebatan luaran ruang dalaman Black Edition hadir dengan skema warna tunggal yang unik iaitu Indigo.

Ruang dalaman sporti bertema biru gelap Indigo ini menggunakan bahan tekstil gaya studio serta kemasan denim kitar semula yang eksklusif untuk varian Black Edition.

Bahagian dalaman Black Edition dilengkapi sistem pengukuran kualiti udara, fungsi pra-pembersihan udara kabin kawalan jauh, skrin tengah 12.3 inci serta pelbagai teknologi bantuan pemandu.

Teknologi Keselamatan dan Bantuan Pemandu

Black Edition dibangunkan daripada EX30 Plus dan Ultra yang merangkumi teknologi penderiaan canggih Volvo.

Sistem ini menggunakan sehingga lima radar, lima kamera dan dua belas penderia ultrasonik yang berfungsi secara berterusan untuk memantau persekitaran kereta.

Kelengkapan standard lain yang turut disertakan adalah kawalan jelajah adaptif dan pintu but belakang berkuasa untuk memudahkan urusan harian.

Rangkaian Kuasa

Varian Black Edition ditawarkan dalam dua pilihan konfigurasi rangkaian kuasa iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance.

Model Single Motor Extended Range mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 5.3 saat serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 475 km dalam kitaran gabungan.

Bagi memenuhi keperluan pengguna, pilihan Twin Motor Performance turut disediakan untuk hantaran kuasa yang lebih padu.

Selain itu, setiap unit EX30 dilengkapi pam haba sebagai ciri standard untuk memaksimumkan jarak perjalanan yang boleh dilalui di antara setiap sesi pengecasan.

Siri Volvo Black Edition

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023 menerusi model XC60, siri Black Edition kini telah berkembang kepada enam model utama termasuk XC90, XC60, XC40, EX40, EC40 dan yang terbaru EX30.

Di United Kingdom, EX30 merupakan kenderaan elektrik bateri kesepuluh paling laris sepanjang tahun 2025.

Dengan reputasi dari segi jarak pemanduan, reka bentuk yang bergaya serta keupayaan pengecasan pantas, varian Black Edition ini dijangka akan terus mengukuhkan kedudukan Volvo dalam pasaran SUV kompak premium.

Bagaimana Pula Dengan Pasaran Malaysia?

Untuk makluman, Volvo EX30 sebenarnya sudah pun berada di pasaran Malaysia.

Walaupun varian Black Edition buat masa ini hanya untuk pasaran luar, pelanggan tempatan masih boleh memiliki EX30 dalam tiga pilihan varian berikut:

Plus & Ultra (Motor tunggal):

  • Kuasa 272 hp / 343 Nm. Pecutan 5.3 saat. Jarak 476 km (WLTP).
  • Harga: RM188,888 (Plus) & RM208,888 (Ultra).

Ultra Twin Performance (2 motor):

  • Kuasa 428 hp / 543 Nm. Pecutan 3.6 saat sahaja. Jarak 450 km (WLTP).
  • Harga: RM228,888.

Ketiga-tiga varian ini menggunakan bateri 69 kWj dengan pengecasan pantas DC (10-80%) dalam masa kira-kira 28 minit.

Volvo EX30 Black Edition

  • Harga bermula dari 40,060 pound sterling (RM213,079) bagi kemasan Single Motor Plus
  • Riasan/tema hitam kilat
  • Pilihan rangkaian kuasa Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance
  • Jarak gerak sehingga 475 km (gabungan)
  • Pecutan 0 ke 100 km/j dalam masa 5.3 saat (Single Motor Extended Range)
  • Pam haba sebagai ciri standard
  • Sistem penderiaan dengan 5 radar, 5 kamera dan 12 penderia ultrasonik
  • Skrin tengah 12.3 inci
Google ads
Back to top button