Buletin

KELUARGA INI SELAMAT DARI TORNADO HANYA KERANA SEBUAH VOLVO XC90!

Dalam satu kejadian luar biasa yang menjadi tular baru-baru ini, sebuah keluarga dari Amerika Syarikat telah berkongsi kisah dramatik bagaimana sebuah SUV Volvo XC90 berjaya menyelamatkan nyawa mereka ketika sebuah tornado EF4 meranapkan kediaman mereka.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai James, dia bersama isterinya, anak lelaki berusia sembilan tahun, dan anak perempuan berusia 18 bulan berjaya melarikan diri ke dalam kenderaan Volvo XC90 mereka kerana tanpa sebarang ruang bawah tanah untuk dijadikan tempat perlindungan.

Dalam detik cemas tersebut, keputusan pantas untuk berlindung di dalam SUV berkenaan ternyata menyelamatkan mereka daripada bencana.

“Saya menyerahkan nyawa saya dan keluarga kepada Volvo XC90 saya, yang melindungi kami semua,” kata James.

“Kami hanya mengalami calar dan lebam kecil, walaupun rumah serta garaj musnah sepenuhnya.”

Dalam foto yang dikongsi, kenderaan XC90 itu kelihatan di bawah runtuhan bumbung dan serpihan rumah, tetapi strukturnya tetap utuh, satu testimoni jelas kepada tahap kejuruteraan keselamatan yang menjadi DNA utama kenderaan buatan Sweden ini.

Pihak Volvo Cars turut memberikan respon penuh empati kepada hantaran berkenaan:

“Kami amat sedih mendengar kediaman dan kenderaan anda musnah akibat tornado. Namun, kami sangat gembira kerana Volvo XC90 telah melindungi anda dan keluarga. Kami doakan anda semua segera kembali kepada kehidupan normal,” tulis wakil Volvo Cars.

Reputasi Keselamatan Volvo Terbukti

Volvo XC90 bukan asing dalam dunia automotif apabila bercakap soal keselamatan. SUV ini dilengkapi sistem seperti struktur badan dengan keluli ultra tinggi, serta rangkaian ciri pencegahan pelanggaran yang menjadikannya antara kenderaan paling selamat di dunia.

Dalam dunia automotif yang semakin kompetitif dan canggih, nilai sesuatu jenama bukan sahaja diukur pada prestasi atau gaya, tetapi juga pada kemampuannya melindungi nyawa.

Dan dalam kes ini, Volvo XC90 telah menjadi sebagai wira, melindungi sebuah keluarga dari sebarang kecederaan yang lebih serius.

Google ads
Back to top button