
VOLVO XC70 BAKAL KEMBALI, BUKAN WAGON, KINI SUV PHEV JARAK JAUH!
Pada tahun 1996 Volvo Cars mula mengeluarkan wagon V70 dan pada tahun berikutnya versi crossover iaitu V70 XC atau V70 Crosss Country menyusul.
Generasi kedua hadir pada tahun 2000 dan Volvo menamakannya sebagai XC70 pada 2003 selari dengan XC90 yang baru diperkenalkan.
Model pengganti dikeluarkan pada 2007 sehingga ditamatkan pada 2016. Lama tanpa pengganti, Volvo memaklumkan XC70 baharu bakal tiba tidak lama lagi.
Lebih tepat, tempahan untuk pasaran China akan dibuka pada penghujung tahun 2025.
Apa yang menarik ialah, XC70 bukan kenderaan elektrik (EV) tetapi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz sederhana dengan hibrid plug-in jarak lanjutan (extended-range) dan pertama daripada Volvo Cars.
Iya, XC70 baharu adalah sebuah SUV dan bukan lagi wagon crossover.
Volvo tidak memperincikan maksud hibrid plug-in jarak lanjutan sama ada menggunakan rangkaian kuasa penambah jarak (range extender) atau jenis hibrid yang boleh dipandu jauh seperti trend di China hari ini.
Apa yang pasti, XC70 boleh dipandu sehingga 200 kilometer (km) (CLTC) dan menjadikannya hibrid plug-in dengan jarak paling jauh yang pernah dihasilkan oleh Volvo Cars setakat ini.
Dibina menggunakan platform SMA (Scalable Modular Architecture) baharu, sebuah seni bina hibrid plug-in jarak lanjutan premium, XC70 merupakan penambahan produk yang penting untuk Volvo Cars.
XC70 baharu ini direka untuk memenuhi permintaan terhadap hibrid plug-in dengan jarak yang lebih jauh di China.
Dari segi reka bentuk, XC70 hadir sebagai sebuah Volvo yang tipikal dengan rekaan berkotak, kemas dan lampu berbentuk T. Sebagai model 70, dimensinya lebih kecil berbanding XC90 atau EX90.
Jeriji tertutup ala perisai diilhamkan daripada EV Volvo dan dipadankan dengan penutup jeriji aktif yang beroperasi secara automatik mengoptimumkan aerodinamik, iklim kabin, dan penyejukan.
Ciri ini menyumbang kepada peningkatan kecekapan tenaga, yang seterusnya memperpanjang jarak pemanduan.
Lampu utama menggunakan teknologi Matrix LED dan boleh membuat pelarasan secara pintar mengikut situasi jalan dan lalu lintas seterusnya membantu meningkatkan penglihatan dan keselamatan.
Volvo sudah mengesahkan penawaran XC70 di China dan bagaimana pasaran lain? Volvo sedang meneroka potensi pasaran tambahan pada peringkat seterusnya.
Maklumat lanjut mengenai Volvo XC70 baharu akan didedahkan dalam beberapa bulan akan datang.



