Buletin

WRC 2022 – OTT TANAK AKHIRNYA MENANG JUGA DI ITALI

Pemandu yang juga mantan juara World Rally Championship, Ott Tanak akhirnnya mengakhiri badi kemenangan dalam perlumbaan WRC setelah berjaya melakukannya di Rally Italia Sardegna hujung minggu lalu. Pemandu pasukan Hyundai Motorsport itu jelas menunjukkan aksi pemanduan yang handal untuk mendominasi saingan di Kepulauan Mediterranean bersama jentera Hyundai i20 N Rally1 sekali gus meninggalkan pemandu kedua dengan catatan masa yang cukup selesa, 1 minit 3.2 saat.

Ternyata kemenangan Ott Tanak di pusingan kelima ini cukup dinantikan sementelah kali terakhir beliau menaiki podium di Arctic Rally Finland tahun sudah. Lebih tepat lagi, kali terakhir beliau menang adalah 462 hari yang lalu. Dan semenjak itu, Ott Tanak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rentak kemenangan yang mana ianya banyak melibatkan isu mekanikal jentera rali.

Pemandu Estonia itu sebetulnya dikejar rapat oleh pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing, Esapekka Lappi sebelum pemandu Finland tersebut mengalami masalah transmisi. Ketika Esapekka Lappi cuba kembali untuk memberikan cabaran pada hari berikutnya, beliau sekali lagi menghadapi kerosakan teruk roda belakang setelah terlanggar batu.

Sementara itu, pemandu M-Sport Ford, Craig Breen boleh menarik nafas lega apabila berjaya menaiki podium kedua dengan keputusan terbaik beliau setakat ini. Craig Breen sebelum ini turut mendapat tentangan hebat daripada rakan sepasukan Pierre-Louis Loubet sebelum mengalami masalah tayar pancit. Malah kemudiannya Craig Breen turut mendapat saingan hebat daripada Dani Sordo sebelum berjaya mengenepikan saingan pemandu pasukan Hyundai tersebut.

Dani Sordo pula akur untuk berada di ketiga keseluruhan, tetapi masih berupaya mengutip mata penting untuk pasukan. Sementara itu Pierre-Louis Loubet masih berjaya menampilkan aksi yang memberangsangkan sekali gus menjadikan tempat keempat keseluruhan sebagai keputusan terbaik beliau setakat ini sepanjang kerjaya beliau di pentas WRC.

Untuk kem pasukan Toyota Gazoo Racing pula, barangkali perlumbaan di Itali ini tidaklah yang terbaik buat mereka. Kalle Rovanpera berada di kedudukan kelima keseluruhan dan itulah yang terbaik buat pasukan Toyota untuk rali kali ini. Sungguh pun demikian, Kalle Rovanpera masih lagi kekal mendahului saingan kategori pemandu setakat hari ini.

BACA : WRC 2021 – OTT TANAK KEMBALI MENANG DI ARCTIC RALLY FINLAND

BACA : WRC 2022 – SEBASTIAN LOEB MUNCUL JUARA PEMBUKAAN DI MONTE-CARLO

Google ads

B K

Back to top button