Buletin

WRC 2021 – OTT TANAK KEMBALI MENANG DI ARCTIC RALLY FINLAND

Setelah agak tenggelam musim lalu dan di awal pembukaan musim WRC 2021, bekas juara Ott Tanak akhirnya berjaya membuktikan bahawa dirinya masih lagi laju dan tangkas untuk memenangi perlumbaan Arctic Rally Finland yang berlangsung di Rovaniemi, sebuah bandar utara Finland.

Ternyata bibit bibit kemenangan Ott Tanak di laluan yang bersalji sepenuhya itu sudah kelihatan sewaktu di awal saingan pada hari Jumaat lagi apabila beliau berjaya mendominasi saingan. Dan prestasi beliau berkekalan pula di hari kedua apabila berjaya memenangi tiga peringkat daripada enam peringkat yang ada bagi meninggalkan pemandu muda dari Finland, Kalle Rovanperä.

Sementara itu, hasrat pememang Monte-Carlo, Sebastian Ogier untuk mencipta kejayaan berganda tidak kesampaian apabila Yaris WRC yang dipandu beliau melanggar tebing salji sekaligus mengakibatkan kerugian masa 20 minit untuk melepaskan jentera dan kembali menamatkan saingan.

Sementara itu, hero tuan rumah Kalle Rovanperä yang berjaya menempatkan tempat kedua setidaknya berjaya mengubat hati penyokong tempatan dan juga pasukan Toyota Gazoo Racing yang seakan sedikit tenggelam dek timbunan salji. Malah pemandu muda Finland ini turut berjaya memenangi pusingan terakhir Wolf Power Stage sekali gus mengutip mata penting. Dan yang penting, kini Kalle Rovanperä adalah pendahulu bagi kutipan mata Pemandu.

Bagi pasukan Hyundai Shell Mobis pula, keputusan dan prestasi barisan pemandunya jauh lebih baik setelah menyahut cabaran yang dilontarkan oleh Prinsipal Andrea Adamo sebelum saingan di Finland bermula. Tempat ketiga dan keempat berjaya diraih oleh pemandu Hyundai, Thierry Neuville yang hanya ketinggalan 2.3 saat di belakang Kalle Rovanperä serta Craig Breen berikutnya.

Sementara itu, pemandu muda, Oliver Solberg yang berpeluang mengemudi jentera i29 Coupe WRC buat pertama kali secara kompetitif, tampil menyakinkan apabila berjaya menempatkan tempat tiga teratas pada saingan hari Sabtu sebelum jenteranya berpusing pada hari terakhir dan akur untuk berada di tempat ketujuh keseluruhan.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Kalle Rovanperä – 39 Mata
  2. Thierry Neuville – 35 Mata
  3. Sebastian Ogier – 31 Mata

Kedudukan Mata Pembuat

  1. Toyota Gazoo Racing – 88 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 77 Mata
  3. M-Sport Ford – 21 Mata

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER JUARA DI MONTE CARLO

BACA : WRC 2021 – ARCTIC RALLY FINLAND HUJUNG BULAN FEBRUARI INI GANTI RALLY SWEDEN

Google ads

B K

Back to top button