Buletin

NEZHA S YAOSHI – SEDAN ELEKTRIK DENGAN PINTU ALA LAMBO

Sedan elektrik Nezha S telah pun diperkenalkan beberapa bulan yang lalu, dan kini ‘pesaing Tesla’ itu memperlihatkan sebuah model edisi khas (dan terhad) yang digelar sebagai Nezha S Yaoshi.

Apa yang menarik ada pada Nezha S Yaoshi ini adalah kehadiran pintu depan gunting dengan bukaan macam supercar Lamborghini, tidak seperti model standard dengan pintu yang standard, diikuti dengan roda aloi baharu kemasan hitam dan angkup brek hijau.

Model Yaoshi ini hanya akan dihasilkan sebanyak 999 unit sahaja, dengan tiga pilihan warna iaitu Magic Night Black, Extreme Night Green dan Rushing Silver.

Dari segi kuasa, Nezha S ditampilkan dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 6.9 saat, dan jarak operasi sejauh 715 km.

Versi range-extender pula mampu menaikkan angka tersebut kepada 1,100 km!

Terdapat versi motor elektrik berkembar dengan kuasa gandingan 456 hp, di mana pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, dan pek bateri yang membenarkan jarak operasi sejauh 650 km.

Dimensi Nezha S hampir menyamai ukuran Tesla Model S dengan panjang 4,980 mm, lebar 1,980 mm dan tinggi 1,450 mm diikuti jarak antara roda sepanjang 2,980 mm.

Kadar pekali seretan pula adalah serendah 0.216 sahaja.

Antara kelengkapan standard yang dimuatkan termasuklah lampu LED, bumbung panorama, skrin infotainmen 17.6 inci, skrin digital 13.3 inci, tambahan skrin ketiga 12.3 inci, paparan head-up diikuti dengan sistem bunyi 21 pembesar suara berkuasa 1,216 watt.

Ia juga turut dilengkapi dengan ciri bantuan radar gelombang 5 mm, 11 buah kamera diikuti dengan dua penderia LiDAR.

Harga jualan bermula dari 338,800 yuan (RM223,280) di pasaran China.

Google ads
Back to top button