Buletin

WRC 2022 – SEBASTIAN LOEB MUNCUL JUARA PEMBUKAAN DI MONTE-CARLO

Tanda diduga, pemandu lagenda yang telah mana bersara dan kembali seketika di pentas WRC, Sebastian Loeb yang memandu untuk pasukan M-Sport Ford bersama jentera hibrid Ford Puma Rally1 akhirnya muncul juara di Rallye Monte-Carlo untuk mengenepikan beberapa saingan terutamanya rakan senegara yang juga mantan juara WRC 2021, Sebastian Ogier.

Kejayaan Sebastian Loeb yang berusia 47 tahun itu menjadikan ianya adalah kemenangan yang kelapan dan sekali gus untuk muncul sebagai pemandu yang paling berusia untuk memenangi perlumbaan WRC. Dengan kejayaan ini, bermakna kedua Sebastian Loeb dan Sebastian Ogier telah memenangi sebanyak lapan kali di Monte-Carlo.

“Saya sangat gembira! Saya tidak terlalu mengharapkan sangat ketika hadir ke sini, akan tetapi ianya saingan yang sangat sengit. Sebastian Ogier sangat laju dan saya sedikit mengalami kesukaran pada semalam dan saingan pada pagi Ahad”, menurut Sebastian Loeb.

Ternyata perlumbaan di Rallye Monte-Carlo ini menyajikan banyak drama dan kejutan. Kejutan utama sudah tentu saingan sengit diantara dua lagenda, Sebastian Loeb dan juga Sebastian Ogier. Kedua pemandu dari Perancis ini sempat bertukar posisi pendahulu. Dan ternyata ketenangan yang dimiliki Sebastian Loeb menjadi kunci untuk beliau muncul juara dengan kelebihan 20.5 saat di hadapan Sebastian Ogier.

Bertambah gembira buat pasukan M-Sport Ford yang sejak akhir – akhirnya ini sedikit tenggelam apabila seorang lagi pemandunya, Craig Breen turut mencatatkan kejayaan podium di tempat ketiga dengan ketinggalan 1 minit 19.3 saat keseluruhan. Sebenarnya prestasi pasukan M-Sport Ford dilihat cukup baik apabila seorang lagi pemandu mereka, Gus Greensmith turut berjaya mencatat masa terpantas di SS 7. Sesuatu yang cukup memberangsangkan buat pasukan M-Sport Ford.

Sementara itu, pemandu muda Kalle Rovenpera berjaya memecut laju untuk menang di Wolf Power Stage sekali gus mencatat lima mata bonus buat pasukan Toyota Gazoo Racing. Begitu juga Elfyn Evans turut memperolehi empat mata, Thierry Neuville tiga mata, Sebastian Loeb dua mata dan Sebastian Ogier satu mata.

Perlumbaan di Monte-Carlo dengan permukaan yang cukup mencabar meliputi permukaan bersalji di Pergunungan Alps menjanjikan cabaran yang cukup mencabar. Diantara yang terkesan dengan perlumbaan ini termasuklah Oliver Solberg yang terbabas akibat melanggar tebing. Mujur kedua pemandu dan juruarah selamat serta masih berupaya meneruskan saingan. Cuma di beberapa SS terakhir, Oliver Solberg terpaksa menarik atas faktor kesihatan dengan jentera Hyundai i20 N Rally1 mengalami sedikit masalah bau bahan bakar yang memasuki ruangan kokpit.

Sebelum itu, Andrien Fourmaux yang memandu Ford Puma Rally1 turut mengalami nasib yang sama apabila jentera beliau terbabas dan terjunam. Walau pun kelihatan teruk, namun kedua pemandu dan juruarah tidak mengalami kecederaan. Sesuatu membuktikan bahawa jentera Rally1 ini sememangnya cukup selamat untuk melindungi penumpangnya.

Pusingan kedua di Sweden bakal berlangsung pada bulan Februari nanti.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Sebastian Loeb – 27 mata
  2. Sebastian Ogier – 19 mata
  3. Kalle Rovenpera – 17 mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. M-Sport Ford
  2. Toyota Gazoo Racing
  3. Hyundai Shell Mobis

BACA : WRC 2021 – SEBASTIAN OGIER JUARA DI MONTE CARLO

BACA : SEBASTIAN OGIER MENJUARAI RALI MONTE CARLO BUAT KALI KEENAM BERTURUT

Google ads

B K

Back to top button