BuletinMotosikal

ZAQHWAN TAK SABAR BERENTAP DI ARRC SUZUKA

Mohd Zaqhwan Zaidi cukup teruja dan tidak sabar untuk kembali beraksi dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Suzuka, hujung minggu ini.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing berusia 23 tahun itu sebelum ini tidak beraksi pada pusingan kedua di Australia, April lepas bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perlumbaan JSB1000 di Kejuaraan Seluruh Jepun MFJ.

“Saya tidak sabar untuk beraksi minggu ini bersama keluarga besar ARRC. Pada masa sama saya bangga dengan prestasi yang ditunjukkan pelumba rookie pasukan kami, Azroy Hakeem Anuar. Saya gembira dia berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik meskipun bermula dari barisan belakang,” jelas Zaqhwan yang kini jatuh ke tangga ke-15 keseluruhan.

Tambah juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu lagi, “Pengalaman beraksi dalam saingan di Jepun akan digunakan sebaiknya minggu ini. Baru bulan lepas saya beraksi di Suzuka, jadi ia memberi kelebihan untuk saya lebih memahami litar. Pengalaman menggunakan jentera 1000cc yang lebih laju dan berat juga daat meningkatkan penguasaan saya bersama jentera 600cc.”

Google ads
Back to top button