Motosikal

WAYNE RAINEY, KENNY ROBERTS & EDDIE LAWSON LEPAS GIAN DI SUZUKA. PECUT SAMPAI 250KM/J

Wayne Rainey dilapor kembali menunggang jentera bersama dua lagi pelumba lagenda Kenny Roberts dan Eddie Lawson di Litar Suzuka, Jepun.

Kali terakhir Rainey menunggang di sana adalah dalam kejuaraan 500GP yang dimenangi pada tahun 1993. Cuma kali ini, momen itu lebih istimewa kerana dapat menunggang bersama Roberts dan Lawson.

Kerjaya gemilang bekas juara dunia tiga kali 500GP itu berakhir apabila terlibat dalam kemalangan di GP Itali di litar Misano pada tahun 1993. Kemalangan itu menyebabkan Rainey lumpuh.

Biarpun begitu, dia kekal aktif dalam perlumbaan motosikal. Pada November lalu, Rainey berpeluang untuk kembali menunggang selepas 26 tahun menggunakan sebuah Yamaha R1. Jentera tersebut menerima modifikasi yang membolehkannya ia dikawal menggunakan tangan.

Pengalaman itu membuatkan Rainey ketagih dan dia pergi ke litar Suzuka untuk menyertai festival Sound of Engine. Di sana dia melengkapkan satu pusingan di atas sebuah R1 yang dipasang dengan livery merah putih sama seperti zaman kegemilangannya.

“Saya tidak sangka emosi apabila dapat kembali menunggang di Suzuka begitu kuat. Terus sahaja saya teringat saat manis sepanjang kerjaya saya di sini. Sudah 26 tahun saya tidak menunggang, jadi, dapat masuk ke gear keenam dan memecut selaju 250km/j sememangnya sangat mengujakan,” kata Rainey.

Lebih manis, Rainey mencatat memori itu bersama rakannya yang juga dari Amerika, Roberts dan Lawson. Rainey yang berusia 59 tahun memberitahu ini merupakan kali pertama mereka bertiga berada di litar bersama.  

Rainey bukanlah satu-satunya pelumba lumpuh di sana kerana dia ditemani oleh pelumba Jepun, Takuma Aoki yang menunggang Repsol Honda. Aoki hilang kedua-dua belah kakinya selepas satu kemalangan pada tahun 1998. Tahun itu dia menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelima keseluruhan dalam kelas 500GP.

Aoki terus aktif dalam sukan bermotor dan bersaing dalam Kejohanan Asian GP.  

sumber: visordown

Google ads
Back to top button