TERKINI: AZLAN SHAH GANTUNG ‘RACING SUIT’, UMUM PERSARAAN
Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman telah mengumumkan persaraan dari dunia perlumbaan dua roda.
Azlan Shah, 39 mengumumkan keputusannya untuk bersara menerusi perkongsian di media sosial pada Rabu.
“Dengan rasa penuh syukur dan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan dua roda yang telah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya.
“Perjalanan ini penuh dengan cabaran, kegembiraan, dan pelbagai pengalaman yang sukar dilupakan, namun tibalah masanya untuk saya melangkah ke fasa baru dalam hidup saya,” jelas Azlan Shah.
Azlan sebelum ini pernah memberi bayangan akan bersara awal ekoran kegagalan pasukannya TKKR Racing Team mengesahkan kedudukan bagi Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim 2024. Difahamkan TKKR bergelut dalam mendapatkan tajaan bagi musim 2025 sekaligus menyaksikan pasukan itu turut akan undur diri musim depan.
Azlan merupakan antara pelumba negara yang berjaya menempa nama di pentas antarabangsa bermula dengan Kejuaraan Dunia Moto2 pada 2013 apabila turun selaku pelumba ganti kepada Yuki Takahashi di GP San Marino. Senario itu menyaksikan Azlan muncul pelumba keempat dari ARRC yang beraksi di Moto2.
Pada musim berikutnya, Azlan terus bersaing di Moto2 bersama pasukan Idemitsu Honda Team Asia dan kekal bersama pasukan itu sehingga musim 2015. Catatan terbaiknya adalah menamatkan perlumbaan di tempat keempat di Motegi, Jepun pada musim 2015.
Meskipun karier di Moto2 tidak berpanjangan namun Azlan menempa nama sebaik kembali bersaing di ARRC, merekodkan pelbagai kejuaraan di kelas Supersport 600cc.
Dia kemudiannya muncul juara pertama kelas ASB1000 di ARRC bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing Team mengendalikan jentera BMW S 1000 RR.